Sempat Masak Bubur Nasi Untuk Anak, Wanita Kongsi Masakan Terakhir Ibunya Sebelum Meninggal Dunia
Sesungguhnya masakan paling sedap di dunia adalah masakan ibu! Setuju tak? Masakan ibu bukan diukur dari rasanya namun sentuhan air tangannya adalah yang paling sedap dan tiada tandingannya.
Sayu dan pilu Madu baca catatan daripada Puan Nur Faziela dalam group Masak Apa Tak Jadi Hari Ini Official yang berkongsi masakan terakhir ibunya.
Menurut Faziela, pada 16 Mac, arwah ibunya Salmah Binti Kadir sempat memasakkan bubur nasi buat adiknya yang sedang demam, sebelum meninggal dunia kerana dilanggar kereta ketika melintas ke kedai.
“Kebiasaannya, mama akan meminta tolong adik (Muhammad Nur Iman) untuk membeli barang di kedai.
“Namun, mama pergi sendiri pada malam itu kerana adik demam dan muntah-muntah.
“Mama sempat menyediakan bubur dan mencium adik sebelum keluar daripada rumah, malah berulang kali memberitahu hanya keluar sekejap saja tetapi sebaliknya berlaku apabila dia pergi buat selamanya,” katanya.
Menurut Nur Faziela, jenazah ibunya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius di kepala, leher dan tulang belakang.
Katanya, dia reda dengan ketentuan Allah namun masih terkesan lebih-lebih lagi apabila mengenangkan bubur yang menjadi masakan terakhir ibunya sebelum meninggal dunia.
Perkongsian tersebut telah mendapat sebanyak 153k tanda suka dan 39k komen di group berkenaan. Melihat ke ruangan komen, orang ramai mengucapkan takziah dan meluahkan rasa simpati dengan situasi yang dilalui wanita itu.