Sempat Buka Pintu Untuk Selamatkan Ibu, Dua Beranak Lemas Dalam Tasik – Manis Madu
Dua Beranak Lemas Dalam Tasik

Sempat Buka Pintu Untuk Selamatkan Ibu, Dua Beranak Lemas Dalam Tasik

Menurut laporan Bernama, seorang wanita warga emas dan anak perempuannya dilaporkan lemas selepas kereta Proton Persona yang dinaiki mereka terjunam ke dalam tasik di Serdang, Bandar Baharu.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu DSP Mohd Akmal Hizam Abd Khupur berkata, dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Hasmah Mat Isa, 69, dan anaknya Noraiza Hashim, 28, berada di dalam kereta yang diparkir di tepi tasik berkenaan sebelum pemandunya tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan meluncur masuk ke dalam tasik.

“Kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap di dalam kenderaan sebelum lemas,” katanya dalam sebuah kenyataan.

 

Operasi mencari dan menyelamat telah dilaksanakan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat (BPP) Serdang, dibantu oleh BBP Selama, Perak dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Sungai Petani.

 

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mayat Hasmah berjaya dibawa keluar oleh pasukan PPDA pada 8.40 malam manakala mayat anaknya pada 8.59 malam tadi.

 

“Kereta Proton Persona juga telah dibawa naik ke permukaan pada 11 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan dan mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat. – BERNAMA

Post a Comment