Salah Siapa? Budak Parah Dilanggar Depan Rumah
Menurut Metro, video berdurasi 59 saat yang tular itu menyaksikan seorang kanak-kanak yang cuba melintas jalan telah dilanggar oleh sebuah kenderaan dipandu wanita yang dalam perjalanan ke Sungai Udang dari Kampung Delek.
Kalau tiada dashcam sudah tentu pemandu kereta akan dipersalahkan 100%. Silap hari bulan lunyai dibelasah.
Apa pun, didoakan semoga kanak-kanak tersebut tiada yg serius. pic.twitter.com/mRqE0LOmFH
— MyWatch (@My_CrimeWatch) May 27, 2021
Ulas Ketua Polis Daerah Klang Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, dalam kejadian 5.45 petang itu, mangsa dilanggar oleh sebuah kenderaan dipandu seorang wanita berumur 21 tahun.
“Ketika kejadian, wanita terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah di kampung sama, dari tempat kerja.
“Mangsa, Nur Kasih Dalisya Kamarul Azwan, 5, yang pada mulanya berada di tepi jalan, dia tiba-tiba melintas jalan secara melulu.
“Keadaan itu menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa kerana jarak yang terlalu dekat walaupun sudah cuba untuk membrek,” ulas beliau, semalam.
Mangsa kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur setelah mengalami kecederaan serius pada limpa dan juga usus.
Dalam pada itu, Shamsul Amar mengesahkan pemandu wanita yang bekerja sebagai kerani itu sudah membuat laporan polis berhubung kemalangan berkenaan.
“Siasatan masih diteruskan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video di laman media sosial yang menunjukkan seorang kanak-kanak telah dilanggar oleh sebuah kereta.
Mangsa yang memakai baju putih dan berseluar merah bersama seorang kanak-kanak lelaki dipercayai abangnya berhenti di tepi jalan, sementara dua kenderaan lalu di hadapan mereka.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba kanak-kanak perempuan itu berlari ke jalan dan terdengar bunyi dentuman kuat disertai jeritan abangnya.
Video yang tular di media sosial itu dirakam dashcam (kamera papan pemuka) sebuah kenderaan yang berhenti di lokasi berkenaan.