Ain Husniza Bakal Berucap Di Unicef Tentang Hak Kanak-Kanak
Seorang pelajar yang tular dengan kelantangan bersuara menentang gangguan seksual di sekolah, Ain Husniza dikhabarkan akan berucap di Persidangan Inspire anjuran United Nations Children’s Fund (Unicef) lapor The Star.
View this post on Instagram
Menurut bapanya, Saiful Nizam dalam hantaran di laman Facebook berkata anak perempuannya akan menyertai Dr Najat Maalla M’jid – wakil khas setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu – sebagai ahli panel bersama enam penceramah lain pada 30 Oktober ini.
“Dalam perbincangan itu, Ain Husniza akan menyuarakan beberapa pandangan dan cadangan mengenai situasi semasa hak kanak-kanak di Malaysia khususnya dari segi akses kepada pendidikan berkualiti, meningkatkan tahap keselamatan di sekolah, kesejahteraan mental, dasar dan sebagainya.
“Semoga dengan ruang dan peluang yang disediakan, akan membuka masa depan yang lebih dinamik kepada proses menyesuaikan diri dengan perubahan pasca-pandemik Covid-19 untuk semua terutama kanak-kanak,” tambah Saiful.
Menurutnya, Ain antara tujuh wakil negara dari rantau Asia Timur dan Pasifik yang dipilih untuk berucap pada persidangan itu. Negara lain termasuk Indonesia, Kemboja dan Thailand.
Ain Husniza menjadi tajuk utama awal tahun ini kerana menyelar gurauan rogol guru pendidikan jasmaninya yang dibuat di dalam kelas.
Pendedahannya mencetuskan pergerakan media sosial yang menyeru agar gangguan seksual di sekolah dihentikan dengan hashtag #MakeSchoolASaferPlace.
Persidangan Inspire, yang dilancarkan pada 2016, berusaha untuk mempercepatkan tindakan di rantau ini untuk memastikan setiap kanak-kanak selamat daripada keganasan.
Persidangan serantau itu akan bermula pada 1 Nov hingga 5 Nov dengan objektif yang jelas iaitu “Mengakhiri Keganasan Terhadap Kanak-Kanak Semasa Covid-19 dan Selepasnya” dan akan disiarkan secara langsung dari halaman Facebook Unicef Asia Timur dan Pasifik.