Akibat Cemburu, Wanita Tikam Janda Sampai Mati
Kerana sifat cemburu dan sakit hati seorang wanita bertindak menikam seorang janda sehingga mati di kebun getah Desa Tapus, Kabupaten Muara Enim, Sumatera Selatan, Kelmarin.
Mangsa yang ditikam sehingga mati itu dikatakan teman wanita kepada suami suspek.
Menurut laporan Tribunnews, suspek yang berusia 35 tahun itu datang ke kebun getah milik mangsa dan memberi amaran kepada mangsa supaya berhenti menggoda suaminya.
Sebelum kejadian itu, suspek juga sempat bertanya berkenaan hubungan mangsa dengan suaminya dan menyuruh mangsa untuk tidak mengganggu lagi rumah tangganya.
Amaran yang diberi bagaimanapun ditentang dan tidak diendahkan malah mangsa membalas bahawa perkara itu bukan urusan suspek.
Jawapan yang diberikan telah mengundang kemarahan suspek berkenaan sehingga menyebabkan pertengkaran antara mereka sebelum suspek mengambil pisau yang diletakkan di bahagian pinggang.
Dia pada awalnya bertindak menikam mangsa di bahu kirinya sehingga terjatuh dan meneruskan tikaman di bahagian perut, pinggang dan mengelar kedua-dua tangan mangsa.
Suspek meninggalkan mangsa dalam keadaan berlumuran darah di kebun getah berkenaan sebelum dia menyerah diri kepada pihak polis.
Sementara itu, menurut salah seorang rakan mangsa, mangsa merupakan janda anak satu yang ditinggalkan suami dan sepanjang hidupnya dia berkelakuan baik.
Pihak polis telah merampas pisau yang digunakan suspek berukuran 30 sentimeter dan mengesahkan kejadian berkenaan.