Bayi 18 Bulan Mati Kelaparan Gara-Gara Ibu Bapa Amalkan Diet Vegetarian Ketat
Gara-gara mengamalkan diet vegetarian ketat, seorang wanita didapati bersalah kerana telah menyebabkan anak lelakinya yang berusia 18 bulan mati kelaparan lapor akhbar Metro UK.
Disebabkan hanya memberi anaknya makan sayur dan buah mentah, Sheila O’Leary, 39, disabitkan dengan kesalahan membunuh oleh hakim pada Rabu lalu berhubung pertuduhan penderaan kanak-kanak dalam kematian Ezra O’Leary pada September 2019.
Berat bayi malang berkenaan hanya 7.7 kilogram (kg), iaitu 3.18 kg kurang daripada purata berat usianya ketika ibu bapa kanak-kanak iutu mendapati mangsa telah berhenti bernafas.
“Anak ini tidak makan. Dia dipaksa berlapar selama 18 bulan,” kata ketua unit mangsa khas di Pejabat Peguam Negara, Francine Donnorummo.
Sheila dan suaminya, Ryan O’Leary memberitahu polis bahawa Ezra mengamalkan diet vegetarian yang ketat, namun masih diberi susu.
Mangsa tidak makan selama kira-kira seminggu sebelum meninggal dunia dan mengalami kesukaran tidur, kata mereka.
“Tertuduh membuat pilihan yang akhirnya membunuh anaknya. Kebanggaannya (menjadi vegetarian) menyebabkan mangsa meninggal dunia. Ia adalah sikap cuai untuk nyawa manusia,” kata Donnorummo.
Laporan bedah siasat mendapati Ezra meninggal dunia akibat komplikasi yang dikaitkan dengan kekurangan zat makanan.
Pendakwa raya menyatakan, Sheila gagal mendapatkan rawatan perubatan untuk anaknya apabila menyedari bayi itu sakit.
Selepas mangsa meninggal dunia, pasangan itu juga mengabaikan tiga anak mereka yang lain yang berumur bawah 11 tahun, demikian menurut pendakwa raya.