Bayi Digelar ‘Gorilla Baby’, Tumbuh Bulu Lebat Seluruh Badan
Pasangan dari Texas, Amerika Syarikat (AS) dikejutkan dengan perubahan bayi mereka yang ditumbuhi bulu lebat di seluruh badan, kesan sampingan pengambilan ubat.
New York Post melaporkan, Bri Shelby, 24 dan suaminya, Jared Hernandez, 22, bagaimanapun tidak bersedih, sebaliknya menggelarkan anak mereka, Mateo Hernandez yang berusia empat bulan itu sebagai ‘bayi gorila’.
“Dia botak ketika dilahirkan tetapi berubah menjadi ‘gorila kecil’ selepas beberapa minggu mengambil ubat,” kata Shelby mengenai komplikasi anaknya yang masih belum diketahui.
Shelby dan suaminya mendapati perubahan anak mereka ketika berumur satu bulan selepas disahkan menghidap congenital hyperinsulinism.
Penyakit berbahaya itu dikatakan hanya dialami oleh seorang daripada 50,000 bayi.
Ia membabitkan pankreas menghasilkan kadar insulin yang terlalu tinggi hingga gula dalam darah pesakitnya berada pada paras sangat rendah.
“Ketika dia dilahirkan, kami membawanya pulang selama sebulan tetapi nampak tubuhnya menggigil dan makan terlalu banyak, jadi kami membawanya bertemu doktor.
“Dia memiliki gula dalam darah yang sangat rendah – kadarnya pada 30 sedangkan bacaan sihat antara 70 dan 100, jadi dia berisiko mengalami sawan atau mati,” kata Shelby yang bertugas sebagai pegawai polis.
Matteo kemudian dimasukkan ke unit rawatan intensif neonatal (NICU) di Hospital Kanak-Kanak Texas bagi memantau keadaannya.
Doktor menggunakan ubat untuk menstabilkan kadar insulin dan gula dalam darahnya.
“Pada mulanya dia diberi dos rendah namun tiada perubahan, kemudian doktor memberikan dos maksimum,” kata Shelby, sambil menambah bahawa ‘itu sangat menakutkan’ dan memberi tekanan”.
Ubat itu terbukti berkesan apabila Matteo berada dalam keadaan terkawal, namun beberapa minggu kemudian, bulu tumbuh pada kepala dan badannya.
“Bulu itu mula tumbuh di kepala dan dahi kemudian kaki, lengan dan punggungnya hingga merebak ke bahagian lain kecuali perutnya,” katanya.
Menurut Shelby, doktor sudah memberi amaran mengenai kesan sampingan itu tetapi dia tidak sangka ia keterlaluan.
“Saya dan suami sepakat mencukur bulu pada wajahnya, tetapi ia kembali tumbuh. Jadi buat masa ini, hanya uruskannya dengan memandikan, mengeringkan dan melembapkan kaki dan tangannya setiap hari.
Keunikan Matteo ternyata menarik perhatian ramai setiap kali dibawa keluar dari rumah.
“Ketika kami keluar di khalayak ramai, orang ramai mengatakan betapa comelnya Matteo tetapi pasti akan menegur bulu yang tumbuh lebat pada wajahnya,” katanya.
Shelby turut menerima komen negatif di laman sosial hingga ada yang mencadangkannya mencabut bulu pada anaknya.
“Mereka tidak akan berkata sebegitu sekiranya ia terjadi kepada anak sendiri. Ubat itu menyelamatkan nyawanya dan saya lebih suka dia berbulu dan sihat daripada sakit,” katanya.