Bekas Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol David Tercalon Dalam Senarai The Greatest Athlete of All The Time
Sebut sahaja sukan skuasy, nama Datuk Nicol Ann David pasti terbayang di fikiran. Meskipun beliau telah mengumumkan persaraan pada tahun lalu, jasa dan pengorbanan beliau dalam sukan skuasy akan sentiasa kekal segar di hati peminat dan seluruh rakyat Malaysia.
View this post on Instagram
Baru-baru ini, bekas ratu skuasy negara yang berasal dari Pulau Pinang ini telah tersenarai dalam Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia (The World Games). Menariknya, beliau merupakan wakil tunggal dari rantau Asia yang tersenarai dalam anugerah tersebut!
Penyandang gelaran pemain nombor satu dunia selama 109 bulan bermula 2006 hingga 2015 itu akan bersaing dalam undian dalam talian dengan 23 calon lain mewakili sukan masing-masing dalam sejarah 40 tahun temasya sukan itu (1981 hingga 2017).
Sehingga artikel ini ditulis, Datuk Nicol David mendahului carta dan berada di kedudukan pertama dengan memperoleh undian sebanyak 90237 undian. Undian boleh dibuat di laman web The World Games.
Di antara 24 atlet yang tersenarai, hanya 10 atlet dengan undian tertinggi sahaja yang akan ke peringkat seterusnya bermula 20 Januari. Pemenang gelaran tersebut akan diumumkan pada 1 Februari ini.