Bukan Sarang Burung! ‘Tropical Brutalism’ Konsep Reka Bentuk Musalla Al Abrar
Keindahan sesebuah seni bina memang menjadi faktor penarik, lebih-lebih lagi jika binaan itu unik dan jarang dilihat.
Begitu juga dengan sebuah binaan yang terletak di Jalan Sungai Penchala, Segambut yang sentiasa menjadi tumpuan para pengunjung.
Bangunan konkrit putih kelabu dengan struktur berbentuk kiub dipenuhi landskap tumbuhan hijau itu tidak ubah seperti bangunan pejabat namun ternyata ia sebenarnya surau yang diberi nama Musalla al-Abrar.
Bukan sarang burung, tapi antara masjid estetik di Kuala Lumpur.
Konsep ‘Tropical Brutalism’ , gabungan blok konkrit bergeometri + tumbuhan hijau pic.twitter.com/4LqrEk1Ihl
— Hazwan Hafiz (@hazwanhfiz) March 21, 2022
Hafiz Ismail, 48, arkitek yang dipertanggungjawabkan membuat pelan surau itu berkata, Musalla Al Abrar diinspirasikan daripada struktur bangunan suci, Kaabah di Masjidil Haram di Makkah.
“Saya ambil ilham daripada struktur Kaabah berbentuk kiub, bagaimana struktur sederhana Kaabah itu, jutaan umat Islam dari seluruh dunia setiap tahun pergi. Jadi mengapa tidak kita fikir (pelan) bentuk kiub Kaabah yang boleh menarik ramai orang,” katanya.
Memetik laporan Bernama, Musalla Al Abrar yang menelan kos RM3 juta itu mempunyai dua aras ruang solat yang boleh memuatkan 1,500 jemaah pada satu-satu masa turut menempatkan ruang pejabat, tempat wuduk, tandas dan dapur.
Surau bertaraf masjid di bawah pentadbiran Yayasan Tawfiq itu siap dibina pada 2016 dan sehingga kini menjadi tumpuan umat Islam dari kawasan berdekatan serta luar Lembah Klang untuk mengikuti majlis ilmu di situ.
Bercerita lanjut, lulusan ijazah seni bina dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu berkata, dari segi disiplin seni bina, tropical brutalism diterapkan pada reka bentuk bangunan surau berkenaan yang mempunyai kelebihan dan setiap daripadanya ada fungsi tertentu.
Menurutnya, perkataan ‘brutalis’’ itu merujuk kepada penggunaan material dinding dan tiang surau yang 100 peratus berasaskan binaan konkrit dilepa simen tanpa semburan cat dan hanya lantai diwarnakan.
“Sementara perkataan tropical diterapkan melalui aspek landskap tumbuhan yang meliputi sebahagian surau bagi mewujudkan persekitaran hijau yang mendamaikan,” katanya.
Hafiz berkata, penggunaan batu blok angin pada keseluruhan dinding surau bertujuan mewujudkan lubang pengudaraan semula jadi sekali gus jemaah yang berada di dalamnya lebih selesa dan tenang walaupun dalam jumlah ramai.
“Perkakasan digunakan di ruang tandas, wuduk juga tidak mahal dan mudah didapati namun didekorasi sebaiknya supaya ia membentuk nilai estetika dan nampak lebih menarik,” katanya.
Sementara itu, Pemegang Amanah Yayasan Tawfiq, Syed Hussin Syed Shaikh Al Junid berkata, reka bentuk surau itu menerapkan elemen minimalis sesuai konsep kontemporari sebagai daya tarikan khususnya kepada golongan muda di bandar bagi mengimarahkan aktiviti keagamaan.
“Binaan surau ini berbeza, kerana walaupun kecil, nampak ekstrem dan kolot dengan binaan batu angin tetapi apabila kita berada di dalam rasa selesa dan hati lapang dengan pemandangan landskap di sekeliling,” katanya.