“Bukan sebab duit!”, Kes Bayi Tertukar! Kedua-Dua Ibu Teruskan Saman Hospital
“Bukan sebab duit!”
Demikian tegas Siti Suriani Wahiddin ketika mengulas mengenai tindakannya untuk meneruskan proses perundangan terhadap Hospital Umra berhubung insiden tertukar bayi, Jun lalu, lapor mStar.
Kisah Siti Suriani dan suami, Mohammad Syafiq Irfan Azman menjadi tumpuan negara sekitar Jun lalu selepas bayi mereka tertukar dengan bayi milik pasangan Diana Hanani Abdullah dan Muhammad Khairulazman.
Menurut satu sidang media ‘Bayi Yang Tertukar’ yang turut disiarkan secara langsung di platform Facebook dan TikTok baru-baru ini, usahawan yang lebih dikenali sebagai Siti Jamumall itu turut menjawab panjang lebar mengenai insiden yang berlaku lima bulan lalu.
“Kita nak jadikan ini satu mesej penting kepada masyarakat dan semua orang supaya lebih berhati-hati.
“Ini bukan sesuatu yang tak mungkin boleh berlaku. Saya percaya kes tertukar bayi bukan pertama kali berlaku, tapi belum lagi dibawa hingga ke mahkamah,” ujarnya.
Sidang media tersebut turut disertai pasangan Diana Hanani dan suami, serta peguam yang mewakili mereka dari Tetuan Marcus Tan & Co.
Tambah wanita berusia 23 tahun itu lagi, mereka juga terpanggil untuk membawa kes tersebut ke muka pengadilan adalah disebabkan cara pihak hospital berkenaan mengendalikan insiden tersebut.
Dalam sidang media yang sama, Siti Suriani sekali lagi menegaskan bahawa apa yang berlaku sama sekali tiada kena mengena dengan tujuan ‘marketing’.
“Kita rasa sakit hati, anak tertukar tapi orang kata marketing. Terus terang, benda ini berlaku tanpa dirancang, tanpa sangkaan saya. Buat apa marketing? Tidak!
View this post on Instagram
“Saya pun tak pernah kenal dan tahu Puan Diana ini siapa tapi Allah dah takdirkan ini terjadi yang kita tak pernah sangka,” tambahnya lagi.
Kisah dua pasangan ini tertukar bayi selepas dilahirkan di sebuah hospital swasta di Shah Alam, Jun lalu, menggemparkan negara dan mendapat liputan meluas.