Didatangi 3 Lelaki Minta Pinjam Duit, Pemuda Luah Rasa Tidak Selamat
Baru-baru, seorang pemuda berkongsi tentang satu kejadian yang berlaku padanya melalui laman sosial TikTok.
Menerusi akaun @adriantengky, pemuda ini berkata ketika itu dia sedang menunggu gerabak kereta api di Stesen MRT Merdeka menuju ke Bukit Bintang.
@adriantengky @myrapidkl WILL I EVER GET TO COMMUTE IN PEACE EVER AGAIN ?? #fyp #tiktokmalaysia #rapidkl #kualalumpur #awareness ♬ original sound – tenteng
Pada awalnya, dia didatangi seorang lelaki berbangsa Cina lingkungan umur 50-an dan menyangka lelaki tersebut mahu bertanya tentang arah kereta api. Namun, ternyata sangkaannya meleset apabila lelaki itu memulakan cerita tentang dia ditipu dan kehilangan semua duit.
Lelaki itu juga meminta untuk meminjam duit daripadanya untuk membeli tiket pulang ke Johor.
“Saya cakap, ‘Maaf, saya tak ada duit sekarang dan saya tak pernah pinjamkan wang tunai kepada sesiapa kecuali kepada kawan atau keluarga,” ujarnya.
Namun, lelaki itu tidak berhenti di situ. Dia kemudian meminta Adrian untuk ke mesin ATM untuk mengeluarkan duit malah meminta sama ada keluarga atau kawannya dapat meminjamkan duit.
Lelaki itu juga berjanji untuk memulangkan duit tersebut dengan cara meminta nombor telefon Adrian tetapi tawaran itu ditolak sekali lagi.
Dalam keadaan cemas dan takut, tiba-tiba Adrian didatangi oleh seorang lagi lelaki tidak dikenali dan menceritakan kisah yang sama seperti lelaki pertama tadi.
Dia cuba meminta bantuan polis atau petugas Rapid KL namun di situ tiada sesiapa untuk dia meminta pertolongan.
Kira-kira satu minit sebelum kereta api sampai, sekali dia didatangi seorang lelaki tidak dikenali. Kali ini dia didatangi lelaki berbangsa India yang turut memiliki ‘jalan cerita’ yang sama.
Untungnya, ketika itu kereta api sampai tepat pada masa dan dia terus berlari ke dalam kereta api.
Adrian juga memaklumkan ketika sampai di MRT Bukit Bintang, dia mencari pegawai polis atau petugas Rapid KL namun seperti dijangka, tiada sesiapa di kaunter dan dia perlu menunggu beberapa minit sebelum memaklumkan perkara yang berlaku padanya.
Bahayanya! Semoga pihak berwajib ambil maklum tentang perkara ini dan selesaikan masalah ini dengan segera. Keselamatan perlu diberi keutamaan!