Gadis Pernah Tidur Selama 13 Hari, Dakwa Alami Sindrom ‘Puteri Tidur’
Menurut laporan Kompas.com, seorang gadis Indonesia dikhabarkan tidur selama tujuh hari dan tidak sedarkan diri sepanjang tempoh tersebut. Siti Raisa Miranda, 16, berkelakuan sedemikian kerana didakwa menghidap sindrom ‘Puteri Tidur’.
Sindrom ‘Puteri Tidur’ atau nama saintifiknya Kleine Levin Syndrome yang berkait rapat dengan hypersomnia.
Ayah gadis berkenaan, Mulyadi berkata, anaknya mula menghidap sindrom ini ketika berumur 13 tahun. Gadis ini dikatakan pernah tertidur selama 13 hari dan terpaksa dikejutkan untuk makan, minum dan buang air.
Raisa bukanlah tidur sepanjang masa namun ketika sindrom ini tiba-tiba menyerang, dia akan tidur selama beberapa hari.
“Kalau sindrom ini tidak menyerang, dia akan normal dan akan bermain dan ke sekolah macam biasa. Sepanjang pandemik Covid-19 ini juga, dia belajar online dan setiap kerja sekolahnya akan diselesaikan tapi kalau dah mula tidur macam ini, begini sajalah,” kata ayahnya.
Seminggu lalu, Raisa dilaporkan mula tidur pada 1 April hingga 8 April lalu dan masih tidak sedarkan diri. Keluarganya juga dikatakan telah membawanya ke hospital untuk rawatan namun ibu bapanya mengambil keputusan untuk membawanya pulang ke rumah. Ini memandangkan tiada perubahan sepanjang di sana.
Pada Disember lalu, dia sudah tertidur selama beberapa hari namun sembuh tidak lama kemudian dan kali ini keadaan berulang lagi.