Guru Luah Rasa Sedih, Pelajar Perempuan Maki Hamun Kerana Kerja Sekolah Banyak – Manis Madu
Guru Luah Rasa Sedih, Pelajar Perempuan Maki Hamun Kerana Kerja Sekolah Banyak

Guru Luah Rasa Sedih, Pelajar Perempuan Maki Hamun Kerana Kerja Sekolah Banyak

Pandemik Covid-19 bukan sahaja memberi kesan terhadap ekonomi, pelancongan, kemahiran sosial tetapi bidang pendidikan juga menjadi antara kelompok besar yang terkesan.

 

Bukan sahaja guru-guru tetapi para pelajar juga perlu belajar menyesuaikan diri dengan pelbagai ragam sesi persekolahan.

 

Baru-baru ini, seorang guru dikenali sebagai Mohd Fadhli ada berkongsi tangkap layar serta luahan hati tentang sikap pelajar yang bersikap tidak sopan terhadap gurunya.

“Bodo cikgu. Bagi kerja macam cuti sebulan anjir,” antara kata-kata cacian seorang pelajar perempuan darjah 6 kerana beban tugas yang diberi gurunya.

 

Jelas guru tersebut, dia merasa sedih dengan kata-kata yang dilemparkan pelajar berkenaan terhadap gurunya.

 

“Aku yang baca ni pun terus menangis. Gugur air mata tatkala membaca setiap bait-bait kata seorang murid darjah 6 perempuan kepada gurunya. Apatah lagi cikgunya yang membaca,” tulis guru berkenaan.

 

Dalam hantaran itu juga, guru tersebut turut menyelitkan beberapa nasihat buat para pelajar dan ibu bapa tentang adab terhadap guru.

 

“Wahai anak anak, cikgu-cikgu tak kisah kalau korang tak sempat buat kerja sekolah yang diberi. Asalkan buat. Cuba dan usaha. Belajar bertanya. 

 

“Cikgu-cikgu faham kekangan yang ada. Tapi bila fikir pasal kekangan, apalah sangat yang korang buat. Baru darjah 6 kot. Bukannya kena kerja atau menyusukan anak pun.

 

“Kepada ibu ayah, semaklah telefon atau peranti anak anak kita. Pastikan anak-anak kita ada adab dengan guru. Biar anak kurang bijak, asalkan tidak kurang adab. Jangan jadikan alasan anda bekerja, sibuk dan sebagainya,” tulisnya.

 

Guru itu juga turut menambah luahannya terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tentang sistem pendidikan terkini negara samada masih relevan atau tidak.

 

“Kepada KPM, masih lagi nak fikirkan tentang peperiksaan? Masih lagi tak nak pertimbangkan pasal jadual waktu. Hadirkanlah kembali keseronokkan anak anak ini untuk ke sekolah dan belajar. Timbulkan dahulu kasih sayang, kecintaan dan rasa tanggung jawab dalam diri mereka.

 

“Sebenarnya, murid murid ini dalam tekanan. Belajar, belajar dan belajar. Guru-guru pun tak boleh dipersalahkan. Sebab guru-guru ditekan oleh mereka yang di atas,” tambahnya.

 

Di ruangan komen, guru itu menjelaskan bahawa pelajar perempuan tersebut bertindak menangguhkan kerja sedangkan pelajar lain baik-baik sahaja.

 

“Bila dia cakap kerja banyak tu sebenarnya tiada langsung. Dia himpunkan semua kerja yang ada pada hari-hari lain yang tertangguh menjadikan tugasan dia banyak,”

 

Hantaran tersebut telah mendapat pelbagai reaksi warganet yang rata-ratanya sedih dengan situasi ini.

Post a Comment