Guru Meninggal Dunia Akibat Dos Penggalak? Anak Tampil Jelaskan Perkara Sebenar
Dakwaan mengenai seorang guru yang meninggal dunia akibat dos penggalak vaksin Covid-19 yang tular di aplikasi Telegram disahkan palsu.
Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengambil maklum berhubung maklumat palsu yang tular di Telegram baru-baru ini dan waris si mati juga sudah tampil menjelaskan kepada orang ramai mengenai kematian pendidik itu.
Pengguna Twitter, @H_Bakkaniy yang merupakan anak si mati mengecam perlakuan biadab golongan anti vaksin yang membuat tuduhan mengenai kematian ibunya tanpa merujuk perkara tersebut dengan waris.
BERITA PALSU TENTANG KEMATIAN MAMA.
Saya selaku anak dan wakil waris mengecam sekeras-kerasnya kebiadaban kumpulan antivaksin yang membuat berita palsu tentang kematian Mama tanpa berhubung langsung dengan waris.Berikut penjelasan tentang fitnah mereka. pic.twitter.com/Me0Mhr841N
— Mohammad Faeez Harith (@H_Bakkaniy) February 17, 2022
“Punca sebenar kematian ibu saya adalah disebabkan tindak balas ubat pelali (anaesthesia) yang diberikan sebelum prosedur intubasi dan beberapa prosedur lain pada malam sebelum kematiannya.
“Pada November 2018, ibu saya sudah mula menggunakan kerusi roda kerana sakit lutut. Kami sekeluarga masih bersedih di atas pemergiannya, namun ada pula pihak lain tanpa hati menyebarkan berita palsu tentang kematiannya,” jelasnya di kenyataan.
Susulan perkongsian itu, rata-rata orang ramai berasa berang dengan tindakan golongan anti vaksin yang menyebarkan berita palsu tersebut.
“Puak antivaksin ini, semua hendak salahkan vaksin. Kaki terseliuh pun salahkan vaksin sampai berita kematian (orang lain) pun dibuat ikut sesuka hati,” kata @fathin_perfume.
“Golongan yang tidak mahu vaksin terpulanglah, tetapi jangan gunakan kematian orang lain untuk tegakkan vaksin membawa maut. Tidak fikir perasaan keluarga yang baru kehilangan ibu kemudian disebarkan berita palsu,” ujar @syu1710_.