Jangan Bagi Muka! Pemilik Bakeri Ajar Adab Kepada Pelanggan Rasis!
Soalan tidak berasas apabila salah seorang pelanggan di sebuah bakeri dalam talian di Petaling Jaya bertindak mempersoalkan etnik pemiliknya.
View this post on Instagram
Perkara itu dikongsi sendiri oleh Thirty One Fine Bakes di laman sosial instagramnya menerusi tangkap layar perbualan Whatsapp yang menunjukkan isu perkauman antara pelanggan dengan pemilik kedai berikut.
Menurut The Star, pemilik kedai itu bagaimanapun menegaskan bahawa pihaknya tidak akan bertoleransi terhadap sikap diskriminasi dan kebencian di Malaysia.
Pada awalnya, individu itu bertanya mengenai bangsa pemilik bakeri berkenaan sebelum pemilik bakeri tersebut menjawab soalan yang diajukan dan bertanyakan alasan di sebalik soalan itu.
Individu tidak bertanggungjawab itu bagaimanapun membalas bahawa dia ingin mengetahui sama ada terdapat pekerja bangsa tertentu.
Ini kerana pelanggan tersebut tidak suka membeli barang yang dihasilkan oleh kumpulan etnik tersebut.
Berikutan itu, pemilik bakeri dengan hormatnya ‘mengajar’ pelanggan yang tidak bertanggungjawab tersebut dan menyatakan mereka tidak menyesal kehilangan pelanggan rasis sepertinya.
“Syarikat ini adalah ruang bagi individu berkembang secara peribadi dan profesional, tanpa sebarang prejudis.
Kerana kata-kata anda yang menjijikkan, kami tidak menyesal mengatakan bahawa kami senang hati kehilangan anda sebagai pelanggan. Selamat maju jaya,” – Pemilik bakeri
Thirty One Fine Bakes merahsiakan identiti pelanggan tersebut dan menegaskan perkara yang berlaku ini untuk memberi kesedaran kepada orang ramai.
Tambah pemilik kedai Bakeri itu lagi “Kami pernah menerima mesej seperti itu sebelum ini, tetapi kini menyedari mereka tidak sepatutnya disembunyikan”
Berikut perkongsian yang dibuat, bakeri itu mendapat sokongan dari ramai warganet dan pelanggan-pelanggannya, malah ada yang mengucapkan terima kasih kerana kelantangannya dalam menentang isu perkauman.