Jiran Malas Jadi Punca Wanita Ini Nyaris Maut Dihempap Sofa!
Tindakan seorang lelaki yang membuang sofa lamanya dari luar tingkap pangsapurinya kerana malas membawanya turun hingga nyaris mengakibatkan jirannya terbunuh!
Portal Daily Star melaporkan, penghuni bernama Mesut Duran yang menetap di Uskudar di Istanbul, Turki, mahu membuang sofa lama selepas membeli yang baharu.
Menurut media tempatan, Mesut dikatakan terlalu malas untuk menuruni tangga membawa sofa itu, maka dia memutuskan untuk membuangnya dari tingkap dalam kejadian 9 Jun lalu.
Insiden berkenaan dirakam menerusi kamera keselamatan bangunan dan merakamkan saat sofa hampir menghempap jirannya.
Menerusi video tersebut, seorang wanita dilihat berjalan keluar dari bangunan ketika sofa jatuh dari tingkap dan dia nyaris maut dalam kejadian itu.
Video itu juga menunjukkan wanita berkenaan terkejut sambil memandang ke atas sambil mengangkat tangan dan menunjukkan isyarat ke arah jirannya sebelum beredar.