Kencing Dalam Gula Untuk Uji Kehamilan? 4 Cara Pelik Uji Kehamilan Zaman Dahulu!
Pernah tak Maduners bayangkan, bagaimana wanita pada zaman dahulu menguji kehamilan mereka? Yelah, zaman dahulu tiada teknologi yang membolehkan mereka menguji kehamilan dengan tepat.
Haa, hari ini Madu kongsikan dengan korang 4 cara wanita zaman dahulu menguji kehamilan mereka. Jangan terkejut!
#1 Ujian Bawang Merah
Kaedah ini difahamkan digunakan oleh masyarakat Mesir Purba dan Yunani Purba. Caranya adalah dengan meletakkan bawang berdekatan faraj wanita dan wanita itu harus tidur semalaman dengan bawang tersebut.
Jika wanita berkenaan bangun keesokan paginya dan nafasnya berbau bawang maka wanita itu tidak hamil dan jika sebaliknya, maka wanita itu hamil.
Madu tidak pasti dengan ketepatan kaedah ini tapi cara ini agak pelik!
#2 Ujian Peluntur
Bagi Madu, antara ujian yang agak dahsyat dan bahaya adalah ujian peluntur! Caranya adalah dengan mencampurkan air kencing segar ke dalam peluntur tanpa menyukatnya, kacau larutan itu dan tunggu hasilnya.
Jika campuran berkenaan menjadi berbuih, korang berkemungkinan besar hamil namun jika sebaliknya, tidak hamil. Madu ingatkan, ujian ini sangat tidak digalakkan kerana ramuan kimia yang terhasil amat berbahaya lebih-lebih lagi kepada wanita hamil.
#3 Ujian Kencing Ke Dalam Gula
Haa, bagaimana pula dengan ujian ini? Cara untuk melakukan ujian ini adalah dengan memasukkan beberapa sudu besar gula ke dalam cawan dan kencing ke dalamnya pada waktu pagi.
Mereka yang mempercayai kaedah ini mendakwa hormon dalam air kencing wanita hamil akan menyebabkan gula menjadi berketul dan tidak larut. Jika keadaan ini berlaku, maka wanita tersebut hamil namun jika gula melarut, kemungkinan besar tidak berlaku kehamilan.
Namun, seperti kebanyakan kaedah lain, tiada ujian saintifik dilaksanakan. Tiada jumlah sukatan air kencing dan sukatan gula yang tepat menjadikan ketepatan ujian ini diragui.
#4 Perubahan Anak Mata
Seorang doktor pada abad ke-16 dikenali sebagai Jacques Guillemeau, tidak mempercayai analisa terhadap air kencing. Baginya, analisa berkenaan tidak masuk akal dan tidak perlu. Terdapat cara yang lebih mudah iaitu dengan melihat ke dalam mata untuk menentukan sama ada seseorang wanita itu hamil atau tidak.
Menurut Jacques, perubahan pada mata wanita hanya boleh dilihat oleh seseorang doktor yang pakar sahaja. Anak mata wanita akan mengecil, urat-urat di penjuru mata membengkak dan beberapa tanda lain. Dikatakan, wanita tersebut juga akan sedar bahawa dirinya sedang hamil kerana penglihatannya berubah menjadi lebih jelas ketika hamil.
Alamak, betul ke cara ini?
Pelik dan dahsyat bukan, cara wanita zaman dahulu menguji kehamilan mereka? Maka, ayuh lah bersyukur dan berterima kasih kepada teknologi sekarang kerana tanpa kewujudan mereka, kita berkemungkinan besar melalui ujian-ujian aneh yang sama. Tak sanggup!