Kuasa Viral! Terus Baiki Jalan Raya Berlubang Selepas Lelaki ‘Mandi & Memancing’ Di Lopak Air
Masalah lubang besar di sebatang jalan di Lombok Tengah, Indonesia, akhirnya ditangani pihak berkuasa jalan raya selepas video dan gambar seorang lelaki sedang ‘mandi dan memancing’ di lopak itu tular di media sosial.
Menurut laporan, lubang ‘gergasi’ yang sering menjadi lopak air besar itu hanyalah satu daripada banyak lubang yang menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Orang ramai mendakwa aduan mereka agar jalan itu diperbaiki tidak diendahkan oleh pegawai bertanggungjawab, meskipun keadaan itu telah menyebabkan banyak kemalangan terjadi.
Ini mendorong segelintir individu menularkannya dengan harapan ia menarik perhatian pihak berkuasa.
Salah satu video yang mendapat paling banyak tontonan menunjukkan seorang lelaki bernama Amaq Ohan dengan bersahaja menggunakan gayung plastik untuk menyiram badannya dengan air hujan berlumpur.
Dalam satu gambar pula Ohan dilihat duduk bersila di atas kerusi, lengkap dengan sebatang joran, seolah-olah sedang memancing.
Rian Mahesa, individu yang mengambil gambar dan video berkenaan, memberitahu portal berita Indonesia, detikNews bahawa banyak jalan berlubang menjadi punca kemalangan.
Difahamkan, situasi itu menjadi kemarahan orang ramai memandangkan jalan yang rosak berkenaan terletak dekat dengan bangunan mewah di Lombok Tengah, termasuk Ibu Pejabat Ketua Daerah.
Menerusi aksi sosial yang dirakam dan dimuat naik ke media sosial itu, Rian berharap pihak pemerintah segera melakukan kerja-kerja baik pulih di jalan raya itu, memandangkan jalan raya berkenaan juga menjadi akses menuju ke Litar Mandalika.
Seorang pegawai mengesahkan kerja-kerja membaiki sudah bermula, namun menolak dakwaan penduduk tempatan bahawa lambat bertindak.
“Tiada perkara seperti ‘terlambat’,” kata pegawai itu.
“Ternyata pihak berkuasa sedang bekerja dan sentiasa memberi respons terhadap setiap aduan dan kehendak orang ramai.”