Lahirkan Bayi Kembar Tiga Selang Lima Hari, Wanita Ini Catat Rekod Dunia! – Manis Madu
Lahirkan Bayi Kembar Tiga Selang Lima Hari, Wanita Ini Catat Rekod Dunia

Lahirkan Bayi Kembar Tiga Selang Lima Hari, Wanita Ini Catat Rekod Dunia!

Selalunya kita dengar perbezaan pasangan kembar ketika dilahirkan hanya beberapa minit namun jangan tidak percaya ada pasangan kembar memiliki jarak selama lima hari!

 

Perkara ini berlaku di Amerika Syarikat apabila dua bayi kembar dilahirkan lima hari selepas bayi pertama daripada kembar tiga itu dilahirkan, lapor portal Daily Mirror.

 

Menariknya, bayi pertama dan dua lagi kembarnya dilahirkan selang lima hari pada tahun yang berbeza, sekali gus menjadikan kelahiran mereka unik.

 

Bayi pertama dilahirkan pada 28 Disember 2019 manakala dua lagi kembarnya dilahirkan pada 2 Januari 2020.

 

Kelahiran unik itu menjadikan ibu mereka, Kaylie DeShane, 33, memegang rekod dunia jarak masa paling lama melahirkan kembar.

 

Ia mengatasi rekod terdahulu iaitu dua hari.

 

Bayi pertama, Cian dilahirkan pramatang pada usia 22 minggu dan peluangnya untuk bertahan hidup adalah tipis. Namun, dia bersama kembarnya, Rowan dan Declan yang kini berusia 17 bulan selamat.

 

Menurut Kaylie, pakar memaklumkan kehamilannya berisiko tinggi dan dinasihatkan menggugurkan dua daripada tiga kembar itu untuk memberi peluang kepada seorang bayi supaya terus hidup.

bayi kembar tiga Cian, Rowan, Declan

Sumber Gambar: Mirror.co.uk

Namun, naluri keibuannya nekad meneruskan kehamilan tiga kembar yang dilakukan menerusi rawatan kesuburan in-vitro (IVF) itu selepas cubaan empat tahun untuk hamil sebelum ini gagal.

 

“Pada usia kandungan 16 minggu, saya alami masalah kegagalan serviks dan saya perlu dibedah segera.

 

“Nasib saya baik kerana pembedahan itu berjaya dan bayi saya selamat. Namun, pada usia 22 minggu lima hari, saya tumpah darah dan saya takut sama ada bayi selamat atau tidak,” katanya.

 

Katanya, selepas semalaman mendapatkan rawatan di hospital anak pertamanya, Cian selamat dilahirkan.

 

“Kami tidak pernah menyangka akan dapat kembar tiga.

 

“Jika dapat seorang anak pun kami sudah cukup bahagia, tetapi kini kami dikurniakan tiga sekali gus,” katanya.

 

Sumber Featured Image: Harian Metro

Post a Comment