Mengagumkan! Nenek Berusia 70 Tahun Berjaya Tamatkan Misi 100 Larian
Satu pencapaian yang sangat mengagumkan! Seorang wanita warga emas ini berjaya menamatkan misi 100 larian dalam tempoh dua dekad di umur 70 tahun!
Wanita berkenaan, Wang Lang dari Liaoning pada mulanya menyertai larian ketika berusia 50 tahun bagi mengisi masa lapang selepas bersara dan mahu mengekalkan gaya hidup sihat.
Namun, kemudian dia mula menyedari acara berkenaan menjadi minatnya.
Kini selepas hampir 20 tahun, dia berjaya menamatkan 100 misi larian termasuk 13 kali acara tahunan Marathon Beijing, antara 2005 hingga 2017.
April lalu, dia memecah rekod baharu apabila menjadi pelari tertua yang menamatkan 168 kilometer Maraton Liaoning dalam tempoh 40 jam!
“Umur wanita ini sama macam nenek saya, macam mana dia boleh lari pantas? Sangat mengagumkan,” kata seorang pelari berusia 20-an selepas menyaksikan Wang bertanding dalam Maraton Liaoning.
Dikhabarkan, Wang membuat latihan larian sekurang-kurangnya 20 kilometer enam hari seminggu dan pada hari Ahad dia menyertai rakan kelab larian jarak jauh.
Dia gemar berlari di kawasan pergunungan di tempat kelahirannya, di Liaoning, tetapi apabila cuaca tidak mengizinkan misalnya pada musim sejuk dia hanya berlari di jalan raya.
“Setiap tahun dianggarkan dia berlari untuk tujuh bulan di pergunungan dan lima bulan di atas jalan raya,” demikian laporan Oddity Central.
Wang percaya, usia bukan penghalang besarnya dan nekad meneruskan aktiviti berkenaan selagi keadaan kesihatannya mengizinkannya.
Selain aktif dalam larian, Wang juga seorang pendaki dan menduduki tempat ke-27 daripada ribuan peserta acara larian, Taishan International Mountaineering Festival.
Dia juga pernah menyertai cabaran ekstrem dengan berlari di 208 trek selepas tidak tidur selama 48 jam.
Sumber Featured Image: odditycentral