Menyampah Ditanya Soalan Tak Sensitif, Jawapan Wanita Ini Memang Savage!
Soalan-soalan panas seperti ‘bila nak kahwin?’ ‘bila nak dapat anak?’ selalu menjadi isu dan seolah-olah tidak berkesudahan. Bila berkumpul dalam majlis bersama saudara mara, mesti tak terlepas dari menjadi sasaran soalan kontroversi itu.
Tak dapat dinafikan, soalan tidak sensitif seperti itu boleh mengganggu emosi seseorang tetapi ada pula yang berkata soalan itu ditanya sekadar untuk beramah mesra.
Baru-baru ini tular di media sosial, seorang wanita berkongsi tips apa nak buat jika berdepan situasi ini.
Melalui akaun @mspaint_29, wanita yang menggelar dirinya ‘aunty’ ini berkongsi bagaimana dia menjawab soalan-soalan kontroversi jika ditanya padanya.
“Aunty rasa macam ni, kita tak boleh halang orang daripada bertanya tentang ini. Bila orang tanya kita macam tu, kita jangan sakit hati. Sama ada kita cakap kat dia, doa la untuk saya atau cari la jodoh untuk saya,” ujarnya.
Wanita itu juga berkongsi bahawa dia pernah ditanya soalan yang sama setelah kematian suaminya dan menurutnya dia hanya menjawab soalan itu dengan tenang dan sopan.
“Aunty pernah dulu, masa Robert dah meninggal, besan aunty tanya aunty. Mira, awak nak kahwin lagi ke? Aunty jawab, nak. Pastu dia kata, eh tak segan ke awak dah tua?
“Saya kena kahwin la Kak Yah. I cakap dekat my besan. Saya ni gatal, saya tak boleh takde laki. Saya nak kahwin jugak. Terus dia macam terkejut dan terdiam.
“So, aunty jawab dengan cara yang elok. Maksudnya, aunty tak terasa hati bila dia tanya soalan tu, aunty tak terasa apa-apa pun. Aunty jawab macam tu je,” katanya.
Tambahnya lagi, soalan-soalan panas seperti ini sememangnya tidak akan habis. Maksudnya, bila dah kahwin, akan ditanya pula bila nak dapat anak. Dah ada anak seorang akan ditanya pula bila nak tambah anak kedua, ketiga dan seterusnya.
Maka, lebih baik jika kita tidak terlalu mengambil serius tentang perkara ini kerana mulut orang tidak boleh ditutup. Jika ditanya soalan seperti itu, jawab saja dengan jujur dan nada yang lembut.
Rata-rata warganet sangat menyukai cara wanita tersebut ‘menangani’ situasi seperti itu dan memuji tindakannya.