Mi Sup Biji Pokok Popi? Sekali Makan Terus Ketagih!
Sanggup guna serbuk kaskas atau lebih dikenali sebagai biji pokok popi supaya pelanggan ketagih dengan mi sup!
Perkara itu yang berlaku di sebuah kedai mi sup di Beijing yang menggunakan bahan tersebut dalam mi sup yang dijualnya.
Menurut Harian Metro, peniaga tersebut telah ditahan oleh polis dari Balai Polis Lunan di bandar Lianyungang, wilayah Jiangsu setelah menerima maklumat daripada orang ramai mengenai tindakan penjual tersebut yang menggunakan bahan terlarang.
Penjual tersebut dikatakan membuat tindakan tersebut bagi memastikan pelanggannya ketagih dengan mi sup yang dijual yang mana akan meningkatkan hasil jualan.
Tindakan penjual tersebut ‘terkantoi’ setelah ada individu yang menonton video peniaga yang menggunakan serbuk kaskas dalam penghasilan makanan.
Ia menyebabkan dia mula curiga jika gerai mi berkenaan menggunakan bahan sama bagi menarik pelanggan. Pemberi maklumat itu membawa sampel mi yang dibeli dari gerai berkenaan ke balai polis untuk diuji.
Akhirnya terbukti apabila polis mendapati mi tersebut mengandungi narkotina dan papaverina dalam jumlahnya yang tinggi.
Pasukan serbuan menemui satu periuk besar minyak cili mengandungi kaskas. Minyak cili dicampur bersama kaskas untuk menjadikan rasanya lebih enak.
Sewaktu ditahan polis, pemilik gerai berkenaan berkata dia tiada pilihan lain dan terpaksa melakukan hal tersebut bagi memulihkan semula perniagaannya yang terjejas teruk akibat Covid-19.