“Moga Syurga Buatmu…” Remaja Meninggal Dunia Akibat Lemas Ketika Bantu Mangsa Banjir – Manis Madu
Remaja Meninggal Dunia Akibat Lemas Ketika Bantu Mangsa Banjir

“Moga Syurga Buatmu…” Remaja Meninggal Dunia Akibat Lemas Ketika Bantu Mangsa Banjir

Seorang remaja bernama Mohammad Hakimin Rahim, 20, dilaporkan meninggal dunia ketika sedang membantu mangsa yang terlibat dengan banjir di Kampung Manjor, Kuala Krai, Kelantan.

Ibu Allahyarham, Norazilah Mohamad berkata anaknya itu hanya sempat makan nasi bersama telur goreng dan memberitahu perlu bergegas untuk menyelamatkan penduduk kampung kerana air (banjir) mula naik.

 

Norazilah berkata, anak ketiga daripada enam beradik itu ringan tulang kerana suka membantu penduduk yang berada dalam kesusahan seperti sanggup mengambil upah membeli barang keperluan penduduk yang terkandas setiap kali berlaku banjir.

Media melaporkan Allahyarham Hakimin dikatakan terlalu penat sebelum tiba-tiba pengsan pada kira-kira jam 10 malam ketika berdayung perahu membawa dua penumpang ke PPS berdekatan.

 

Bapa mangsa, Mohamad Rahim Mohamad Yusof, 53, bertindak meminta pertolongan penduduk untuk mencari anaknya yang hilang sebelum menghubungi pasukan penyelamat.

 

Manakala dua abang kembarnya, Mohamad Hafizi dan Mohamad Hapipi, masing-masing berusia 23, tetap menunggu arwah dari pagi hingga Subuh sambil mengais dasar sungai menggunakan buluh sehinggalah dia ditemui.

Mayat Hakimin dijumpai oleh ahli keluarganya di dasar sungai sekitar jam 8.30 pagi di tempat dia dilaporkan jatuh dari perahu.

 

Menambah rasa pilu, mangsa dikatakan terlalu kepenatan dan mengalami kekejangan berikutan cuaca sejuk semasa membantu penduduk kampung sejak dari awal pagi hingga malam.

 

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Manjor selepas solat Asar pada petang Khamis.

 

Berita kematian Hakimin mendapat perhatian dan simpati warganet dan rata-rata menitipkan doa buat keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Post a Comment