“No Indian Allowed” Segelintir Pihak Buat Hal, Habis Satu Bangsa Kena Tempias!
Hidup dalam lingkungan bangsa berbilang kaum, isu perkauman pasti tak dapat dielakkan. Sedikit atau banyak, pasti akan wujud individu yang bersifat ‘memilih bulu’ ketika berdepan kaum berlainan dengannya.
Baru-baru ini, satu perkongsian di Twitter umpama peribahasa ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’. Hanya kerana segelintir pihak yang buat hal, habis satu bangsa kena tempias!
Menurut ciapan @eleanor_eyu, teman lelakinya dan keluarga merancang untuk memilih penginapan bagi percutian Krismas tahunan mereka dan Airbnb bernama Bentong Eco Wellness Resort menarik perhatian mereka.
“No indians allowed”
My boyfriend and his family were planning out our annual Christmas trip and we found what we thought was a beautiful Airbnb called Bentong Eco Wellness Resort 文冬生态度假村. I called the host, Daniel, who is supposedly one of the property’s agents. pic.twitter.com/KoGHTjL6pp
— Eleanor (@eleanor_226) June 29, 2022
Eleanor pada mulanya berbincang dengan ejen hartanah dikenali sebagai Daniel mengenai tempahan yang akan dibuat dan perbincangan itu berjalan lancar sehinggalah teman lelakinya pula meneruskan tempahan berkenaan.
“Daniel menghubungi teman lelaki saya dan bertanya tentang bangsanya. Kami pelik kenapa perkara itu perlu dipersoalkan Daniel berkata “Kami hanya menyewa untuk kaum Cina dan Melayu” dan terus membatalkan tempahan kami,” katanya.
Difahamkan, keadaan itu berlaku kerana syarikat mereka menetapkan kaum India tidak dibenarkan untuk menyewa kerana masalah kebersihan yang dilakukan oleh penyewa sebelumnya.
Eleanor juga mempersoalkan adakah wajar ‘menghukum’ keseluruhan kaum hanya kerana segelintir individu bermasalah.
“Keluarga teman lelaki setiap tahun pergi trip Krismas dan mereka sentiasa pentingkan kebersihan. Mereka tak ada masalah seperti ini sebelumnya,” tambahnya lagi.
Berkata lanjut, Eleanor turut mempersoalkan kenapa kaum teman lelakinya perlu berdepan diskriminasi seperti itu sedangkan boleh diselesaikan melalui bayaran penalti.
“Sekiranya sesiapa yang menyewa harta tanah anda merosakkannya, tidak kira apa warna kulit mereka, hanya kenakan bayaran penalti. Bukankah itu lebih masuk akal daripada bersikap perkauman seperti ini?” ujarnya.
Melihat di ruangan komen, rata-rata netizen menyelar tindakan perkauman seperti itu dan menyifatkan isu seperti kebersihan adalah masalah individu maka tidak sepatutnya berlaku diskriminasi seperti ini.
Betul sangat! Tak kiralah dalam apa juga situasi dan isu, menghukum keseluruhan kaum adalah perkara yang tak sepatutnya berlaku. Tak baik tau diskriminasi seperti ini hanya kerana kesalahan segelintir pihak.