Pancing Isteri Bercuti Di Tempat Tinggi, Suami Sanggup Tolak Isteri Hamil 7 Bulan Demi Tuntut Wang Insurans
Sangat tidak berhati perut! Itu yang boleh dikatakan tentang tragedi seorang lelaki yang sanggup menolak isterinya yang hamil 7 bulan jatuh dari tebing tinggi hanya kerana duit.
Sumber Gambar: mirror.co.uk
Hakan Aysal, 40, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh isterinya, Semra Aysal dan bayi mereka yang masih belum lahir ketika sedang bercuti di Butterfly Valley di bandar Mugla, Turki.
Lebih menyakitkan hati, sebelum membunuh isterinya, Hakan dilaporkan sempat berswafoto dengan isterinya sebelum menolak isterinya yang sedang hamil jatuh dari tebing bukit. Kejam!
Menurut pendakwaraya, kemalangan itu adalah rancangan Hakan untuk menuntut wang insurans.
Hakan dituduh melakukan jenayah tersebut yang mana dia merancang membunuh isterinya demi mendapatkan wang insurans kemalangan jiwa sebanyak 400,000 lira Turki (RM250,000) yang mana penerima adalah dirinya sendiri.
Sumber Gambar: mirror.co.uk
Pihak pendakwaraya juga mendakwa keberadaan mereka di atas bukit itu selama tiga jam adalah kerana Hakan mahu memastikan tiada orang untuk melaksanakan rancangan jahatnya!
Dokumen tuntutan Hakan berkaitan pembayaran insurans sebanyak TRY 400,000 juga ditemui selepas isterinya meninggal dunia namun ia ditolak dan siasatan telah dilakukan.
Sumber Gambar: mirror.co.uk
Dalam satu video temubual bersama abang mangsa, Naim Yolcu, dia berkata ketika keluarga mereka ke Institut Perubatan Forensik untuk mengambil jenazah Semra, Hakan tidak keluar dari kereta dan tidak menunjukkan sebarang reaksi seolah-olah tiada apa yang berlaku.
“Selepas dia meninggal, kami baru tahu Hakan ada membuat tiga pinjaman atas nama adik saya. Selain itu, Hakan takut dengan ketinggian, jadi sukan ekstrem apa yang boleh dilakukannya jika dia takut dengan ketinggian?” menurut Naim.
Sementara itu, Hakan menafikan dia adalah individu yang bertanggungjawab atas kematian isterinya dalam soal jawab bersama mahkamah.
Difahamkan, Mahkamah Jenayah Tinggi Fethiye memutuskan Hakan akan ditahan atas tuduhan merancang pembunuhan isterinya dan siasatan masih diteruskan.
Sumber: www.mirror.co.uk