Pelajar Perempuan Pertaruh Nyawa Seberang Jalan Di Waktu Subuh Kerana Bas Sekolah Sudah Tak Beroperasi!
Baru-baru ini tular gambar beberapa orang pelajar sekolah meniti jambatan gantung demi ke sekolah. Perkara ini mendapat reaksi yang pelbagai daripada warganet.
Susulan itu, akaun Facebook Redzuan Abu Samah pula ada memuat naik situasi yang lebih kurang sama tetapi di lokasi yang berbeza.
Dalam hantaran itu, dilihat seorang pelajar perempuan yang tinggal di Taman Puterajaya keluar seawal waktu subuh untuk pergi ke sekolah yang terletak di Tebobon.
Pelajar itu dikatakan membawa kerusi untuk memanjat tembok pembahagi jalan Pan Borneo kerana pengangkutan bas sekolah ke Tebobon tidak lagi beroperasi kerana terlalu jauh untuk membuat pusingan.
Difahamkan, punca utama hal ini berlaku juga kerana lampu trafik di simpang keluar masuk Taman Puterajaya dahulu sudah dihapuskan.
Salah satu kesannya adalah pengangkutan bas sekolah sudah tidak lagi beroperasi di kawasan itu dan menyukarkan para pelajar untuk mendapatkan pengangkutan ke sekolah.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa simpati dan risau dengan situasi yang perlu dihadapi pelajar berkenaan dan berharap perkara itu segera diselesaikan.
Risau ya tengok pelajar itu berada di tengah jalan pada seawal waktu subuh begitu. Semoga masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin.