Penghantar Makanan Bawa Anak Ketika Delivery, Ramai Kagum & Ucap Tahniah!
Baru-baru ini tular di laman TikTok mengenai seorang penghantar makanan yang terpaksa membawa anak kecilnya berusia setahun ketika bekerja.
Rider berkenaan yang dikenali sebagai Amirul tular apabila ditemu bual oleh seorang penjawat awam, Khairul Fazli dan dimuat naik di akaun TikTok nya.
@abamskhaiJom doakan Amirul dapat memikul tanggung jawab dengan penuh dedikasi
Menerusi video tersebut, Khairul berkata dia terserempak dengan rider tersebut di Jalan Chan Sow Lin lalu memintanya memberhentikan motosikal untuk bertanya beberapa soalan.
Ternyata, bapa kepada tiga orang anak ini sudah hampir sebulan membawa anak kecilnya bersama semasa bekerja kerana isteri sudah mula bekerja. Seorang daripada anak dijaga ibunya manakala seorang lagi bersekolah.
Amirul menerangkan anak kecilnya akan diberi nasi ketika berada di luar dan susu hanya diberikan ketika di rumah.
Ketika ditanya adakah Amirul mendapat atau memohon sebarang bantuan, dia cuma menjawab tidak memohon dan hanya menerima bantuan kerajaan yang biasa sahaja.
Di penghujung video, Khairul mengucapkan tahniah kepada rider berkenaan kerana masih menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa dan suami.
“Tahniah abang, maknanya abang boleh bawa anak, boleh pikul tanggungjawab lagi. Sebab ada orang lebih suka duduk kat rumah saja, jadi abang ni berusaha keras. Tahniah,” ujar Khairul.
Melihat di ruangan komen, rata-rata warganet sebak dan terharu melihat keadaan rider ini. Ramai yang turut mengucapkan tahniah selain menitipkan doa agar Amirul dipermudahkan segala urusan dan diberi kelancaran rezeki.
“Bukan suka-suka dia nak bawak anak, mungkin dia takde duit untuk upah pengasuh sebab bayaran pengasuh pun mahal. Semoga murah rezeki beliau,” komen salah seorang warganet.
“Ayah dan suami yang hebat. Semoga abang dipermudahkan urusan,” tulis komen lainnya.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Semoga semua yang menghadapi kesulitan diberi kekuatan dan dipermudahkan segalanya.