Pereka Fesyen Terkenal Australia Meninggal Dunia Pada Usia 78 Tahun – Manis Madu
Carla Zampatti meninggal dunia pada usia 78 tahun di Sydney

Pereka Fesyen Terkenal Australia Meninggal Dunia Pada Usia 78 Tahun

Ikon fesyen Australia, Carla Zampatti, yang terkenal dengan hasil ilham bercorak elegen lebih setengah abad dilaporkan meninggal dunia pada usia 78 tahun di Sydney.

Menurut laporan Reuters, mendiang dimasukkan ke hospital selepas terjatuh tangga ketika menghadiri pertunjukan opera, minggu lalu.

 

Berita berkenaan turut disahkan oleh keluarga mendiang menerusi sebuah kenyataan pada Sabtu lepas.

 

“Zampatti mengukir nama sebagai usahawan terkemuka menerusi perubahan radikal dan sosial. Beliau memperjuangkan gerakan hak wanita pada tahun 1960-an menerusi kreativitinya,” ujar keluarganya dalam kenyataan itu.

 

Pada awal tahun 1970-an, Zampatti merupakan pereka fesyen pertama yang mengetengahkan pakaian renang sekali gus memecah konservatif sosial di Australia.

 

Zampatti menghasilkan koleksi berskala kecil pada tahun 1956 sebelum menubuhkan syarikat sendiri atas nama Carla Zampatti Pty Ltd lima tahun kemudiannya.

 

Pelakon Nicole Kidman dan Cate Blanchett serta bekas Perdana Menteri Australia, Julia Gillard merupakan antara orang kenamaan Australia yang pernah memperagakan hasil kreativiti Zampatti.

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menyifatkan pemergian tersebut merupakan kehilangan seorang rakyat Australia yang sarat dengan falsafah dan memberi inspirasi kepada orang lain. – ASTRO AWANI

Post a Comment