Salah Ke Non-Muslim Jadi Ikon NGO Islam? Dr Soo Wincci Lebih Pentingkan Nilai Perpaduan – Manis Madu
Salah Ke Non-Muslim Jadi Ikon NGO I

Salah Ke Non-Muslim Jadi Ikon NGO Islam? Dr Soo Wincci Lebih Pentingkan Nilai Perpaduan

Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, penyanyi Dr Soo Wincci melihat perlunya usaha untuk mengukuh dan mengekalkan perpaduan dilakukan sepanjang masa.

Baginya, perkara ini sangat penting demi kemajuan dan pembangunan ekonomi negara.

 

Memetik laporan Harian Metro, Wincci, 36, yang sangat komited dalam membantu kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan IRM, berkata, masyarakat terutamanya golongan muda digalakkan untuk sama-sama turun padang melakukan kerja-kerja kemanusiaan.

 

“Jika kita tak buat, siapa lagi yang nak buat. Kita perlu tolong antara satu sama lain.

 

“Banjir dan pandemik Covid-19 sudah cukup membuktikan bahawa kita mampu bangkit dan berjuang bersama-sama mengharungi saat-saat getir tanpa mengira apa jua bentuk perbezaan.

 

“Kerja-kerja kebajikan sangat dekat dengan saya. Sejak dari sekolah saya memang suka melibatkan diri dalam kerja-kerja kesukarelawanan dan kebajikan,” katanya.

 

Wincci berkata, dia gembira dan terharu kerana IRM sudi mengajak untuk turut serta dalam melakukan kerja-kerja kebajikan bersama mereka.

 

“Ketika IRM menyampaikan hasrat untuk melantik saya sebagai salah seorang ikon kemanusiaan mereka, saya bertanya kembali adakah ia pasti kerana bimbang akan timbul pelbagai kontroversi.

“Apabila ia menjadi tular, ada yang bertanya kenapa orang bukan Islam dilantik menjadi salah seorang ikon NGO Islam?

 

“Bagi saya, matlamat IRM jelas, mereka mahu membantu golongan memerlukan tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan warna kulit. Jadi, saya melihat itu adalah matlamat gerak kerja kemanusiaan yang universal,” katanya.

 

Kesungguhannya terlihat apabila walaupun berada jauh di Sepanyol bagi melanjutkan pengajian, Wincci tetap berusaha meluangkan masa untuk hadir dalam sesi perkongsian yang dijalankan serta membabitkan diri dalam kerja-kerja pengumpulan dana untuk membantu menjayakan program bantuan yang sudah dirangka IRM.

 

Menerusi program Share the Joy, IRM dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MyAmal dan Malaysian Relief Agency (MRA) menyantuni 500 penerima manfaat dari kalangan masyarakat Cina di bawah kategori B40 di daerah Kudat dan Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah sempena sambutan Tahun Baru Cina yang lalu.

Selain Sabah, program Share The Joy turut dijalankan di sekitar bandar Sibu dan Sibu Jaya, Sarawak dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Tiong Hua Islam Sarawak (PERKTHIS) melibatkan 500 penerima manfaat berbangsa Cina beragama Islam dan bukan Islam.

Post a Comment