“Saya Dah Maafkan Dia”, Wanita Lega Dapat Peluk Ayah!
“Ayah sudah memohon maaf atas semua kesilapannya dan sebagai anak, saya berlapang dada menerimanya,” kata Mimi Hasmiedar, 21.
Bapanya menghilangkan diri sejak dia berusia 14 tahun dan dia hanya mengetahui lelaki itu dimasukkan penjara selepas menerima surat daripada seorang individu dua tahun lalu.
Menurut laporan Harian Metro, selepas menjalani hukuman penjara, bapanya dibebaskan pada 22 Mac baru-baru ini.
Lelaki itu dibawa keluar daripada Penjara Penor, Kuantan, Pahang pada 10 Mac lalu sebelum dihantar ke Pejabat Parol Hulu Langat, Selangor untuk menjalani kuarantin dan dibebaskan.
Perkongsian video di TikTok menunjukkan detik pertemuan semula dengan bapanya menarik perhatian netizen.
@mimijerrr Kerana dia sebatang kara . Sebagai anak , mimi nk yg terbaik Utk ayah , biarlah mereka benci ayah , ayah tetap ayah mimi😔 Semoga lepas setahun kita duduk sama ye . Ayah kene bertahan tau💪🏼 harap2 lalu #fyp ♬ suara asli – Penyair Emosian
Menurut Mimie, kali terakhir tinggal bersama bapanya ada ketika berusia 11 tahun dan berpisah selepas ibunya memfailkan perceraian.
Selepas tahu hal sebenar, Mimie berkata, dia melawat bapanya di penjara beberapa kali sejak 2020 hingga tahun ini dengan ditemani suami, Khairul Rasidi, 27.
“Selepas sekian lama menunggu, akhirnya ayah dibebaskan tetapi dengan syarat iaitu perlu diawasi oleh polis selama setahun. Alhamdulillah, saya dapat peluk dan cium ayah malah membantunya mencari rumah sewa untuk didiaminya.
“Jujurnya, saya pernah membenci ayah satu kerana tidak terima apa yang dilakukan terhadap ibu dulu namun apabila sudah dewasa, saya mula sedar semua manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan,” katanya.
Oleh itu katanya, dia mengingatkan adik beradik untuk terima ayah mereka.
Mimie menganggap pembebasan bapanya itu sebagai rahmat buatnya terutama menjelang kedatangan Ramadan tidak lama lagi.
Menurut Mimie, perkongsiannya di TikTok bukan bertujuan mengaibkan bapanya sebaliknya sekadar salah satu cara untuknya meluahkan apa yang terpendam.
“Ramai mendoakan dan beri kata semangat namun ada juga fikir saya mahu aibkan ayah. Sedangkan, bukan itu niatnya dan selepas berkongsi video itu, baru saya tahu ramai di luar sana yang senasib dengan saya,” katanya.