Tak Pelik! Sebenarnya Ikan Paus Terkandas & Ditemui Mati Fenomena Semula Jadi?
Menurut Utusan, sebanyak 29 daripada 34 ekor ikan paus mati selepas terkandas di tepi sebuah pantai di bahagian selatan New Zealand semalam.
Jabatan Pemuliharaan New Zealand memaklumkan, paus pilot sirip panjang itu ditemukan mati di pantai Farewell Spit semalam.
Jurucakap jabatan itu, Dave Winterburn berkata, lima lagi paus itu kini dalam penjagaan pihak berkuasa.
“Apa yang berlaku ketika ini amat menyedihkan, namun paus terkandas di tepi pantai merupakan fenomena semula jadi.
“Punca kejadian ini berlaku masih belum dapat dikenal pasti,” katanya.
Pantai Farewell Spit sering menjadi lokasi paus terkandas, menyaksikan lebih 10 ekor haiwan itu mati di pantai berkenaan dalam tempoh 15 tahun lalu.
Insiden paling besar berlaku pada Februari 2017 apabila hampir 700 paus terkandas dengan 250 mati.
Sehingga kini, para saintis tidak dapat memastikan mengapa pantai itu menjadi ‘tapak maut’ untuk paus.
Namun, mereka tidak menolak kemungkinan bahagian cetek di pantai itu menjadi punca paus sering terkandas.