YouTuber ‘Prank’ Tarik Tudung Wanita Didakwa Di Mahkamah Majistret – Manis Madu
YouTuber ‘Prank’ Tarik Tudung Wanita Didakwa Di Mahkamah Majistret

YouTuber ‘Prank’ Tarik Tudung Wanita Didakwa Di Mahkamah Majistret

Kelakuan seorang YouTuber yang mencetuskan kemarahan orang ramai baru-baru ini selepas memuat naik sebuah video menarik tudung wanita Islam dilaporkan telah didakwa di Mahkamah Majistret.

 

Susulan laporan polis dibuat ke atas lelaki berusia 24 tahun itu, pihak polis telah menangkapnya pada 7.30 malam pada Isnin, ujar Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superitendan Ashari Abu Samah.

 

Menurutnya, laporan berkenaan dibuat terkait klip video daripada saluran YouTube yang tular menunjukkan perbuatan lelaki itu yang menarik tudung dua orang wanita beragama Islam hingga menimbulkan amarah warganet.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan/ Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336). Namun suspek dituduh mengikut Seksyen 14 Akta 336 di Mahkamah Majistret semalam dan dihukum denda,” katanya.

 

Ashari juga menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang rakaman dan penyebaran video yang berkemungkinan mendatangkan kegusaran masyarakat serta menyentuh sensitiviti pada masa akan datang.

 

Terdahulu, pemuda yang dikenali sebagai Nick itu telah memuat naik video permohonan maaf atas keterlanjurannya memuat naik video ‘prank’ tarik tudung di saluran YouTubenya.

Difahamkan, video tersebut bertujuan untuk menguji maklum balas netizen sama ada perbuatan yang menyentuh sensitiviti itu akan dipertahankan atau sebaliknya.

 

Dia juga memaklumkan sudah menjangka akan berdepan kecaman bertubi-tubi daripada netizen berhubung perkara itu.

 

Permohonan maaf itu dibuat menerusi video terbaru yang dimuat naik di salurannya, tidak lama selepas kontroversi itu tular di medial sosial.

 

Meskipun penjelasan sudah diberi, namun rata-rata netizen masih tidak berpuas hati dengan ‘social experiment’ yang dijalankannya dan masih melempar kecaman terhadap Nick dan menganggap tindakan itu biadap dan melampau.

Post a Comment