100 Rider Digantung Kerja Tanpa Alasan Kukuh, Persatuan Hantar Memorandum Bantahan! – Manis Madu
100 Rider Digantung Kerja Tanpa Alasan Kukuh, Persatuan Hantar Memorandum Bantahan!

100 Rider Digantung Kerja Tanpa Alasan Kukuh, Persatuan Hantar Memorandum Bantahan!

Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) menghantar memorandum bantahan kepada sebuah syarikat penyedia perkhidmatan P-hailing semalam kerana tertekan selepas ahlinya digantung kerja tanpa alasan kukuh, lapor Kosmo!

 

Difahamkan, kira-kira 100 penghantar makanan sebuah syarikat digantung 10 hari di seluruh Malaysia sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

 

Penghantar makanan, Mohamad Firdaus Mohamad Rosli, 39, berkata, tindakan itu mengejutkan dan dianggap tidak wajar kerana mereka mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

 

“Melalui skema bayaran terbaharu, telah dijelaskan rider boleh membuat keputusan untuk menerima atau menolak pesanan.

 

“Namun, apabila ada penghantar yang berbuat demikian, tahap batch kami semakin jatuh seterusnya menjejaskan kerja kerana perlu mengejar lebih banyak pesanan,” katanya ketika ditemui. Turut hadir Presiden Penghantar, Muhammad Zulhelmi Mansor.

 

Sementara itu, Amar Firdaus, 30, pula berkata, penghantar makanan yang berkhidmat selama enam tahun menjelaskan faktor mereka menolak pesanan kerana jarak terlalu jauh sehingga mencecah 15 kilometer (km).

 

“Jarak itu tidak sepadan dengan bayaran batch ditetapkan iaitu RM4.30. Jika kita ambil pesanan, anggaran kenaikan RM4.70 bagi rider batch 4.

 

“Faktor keselamatan juga perlu diambil kira kerana kita meredah trafik tanpa mengira cuaca bagi mengelak digantung,” ujarnya.

 

Imam Ilyas berharap sistem dan kadar bayaran yang telus dan jelas dilaksanakan supaya tidak mengelirukan penghantar makanan.

 

Muhammad Zulhelmi pula berkata, isu tersebut perlu diselesaikan dengan kadar segera.

 

Katanya, kajian dan penelitian semula radius zon operasi perlu dilaksanakan selain mencadangkan jarak maksimum ditetapkan kepada 4km.

 

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada wakil syarikat Foodpanda Sdn. Bhd tidak berhasil kerana panggilan tidak dijawab.

Post a Comment