Rumah Bot Tempat Berteduh Enam Beranak Sejak 10 Tahun Lalu – Manis Madu
Rumah Bot Tempat Berteduh Enam Beranak Sejak 10 Tahun Lalu

Rumah Bot Tempat Berteduh Enam Beranak Sejak 10 Tahun Lalu

Rumah bot yang uzur dan usang di Tasik Kenyir menjadi ‘syurga kecil’ enam beranak dari Kampung Basung, lapor Harian Metro.

 

Pemandu rumah bot, Samsuddin Khalid, 45, bersama isteri, Norfarhana Yusof, 30, dan empat anak mereka yang berusia antara lapan bulan hingga 11 tahun terpaksa memilih tinggal di rumah bot dan rakit sejak 10 tahun yang lalu.

 

Malah, enam beranak itu juga bergantung sepenuhnya kepada air tasik untuk kegunaan harian seperti mandi dan memasak selain turut berdepan ancaman haiwan berbisa dan kenaikan paras air yang mendadak serta ribut ketika musim tengkujuh.

 

Menurut Samsuddin, dia bersama isteri dan anak sulung sebelum ini tinggal di rumah keluarga namun berpindah kerana mahu berdikari dan menyewa di luar.

 

“Namun, pendapatan yang tidak menentu menyebabkan saya mengambil keputusan tinggal di rumah rakit yang terletak berhampiran rumah bot hampir sembilan tahun.

 

Tapi terpaksa berpindah pula ke rumah bot apabila rumah rakit yang didiami semakin uzur sejak tahun lalu.

 

“Melihat anak-anak yang semakin membesar, memang saya mahu sediakan rumah yang selesa.

 

Tetapi saya tidak mampu apatah lagi ketika ini saya tidak bekerja kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya yang sebelum ini memperoleh pendapatan kita-kira RM1, 000 sebulan.

 

Bagi Norfarhana, dia berharap ada pihak yang sudi memberikan rumah baharu buat mereka sekeluarga memandangkan rumah bot didiami mereka semakin uzur.

 

“Selain tidak selesa dan jauh daripada orang ramai, saya juga bimbang dengan keselamatan anak-anak walaupun tidak dinafikan mereka memang membesar di sini,” katanya.

 

Sumber Gambar: Harian Metro

Post a Comment