Wanita Tua Ada Misai & Janggut, Doktor Sahkan Kadar Hormon Testosterone Tinggi
Setiap orang mempunyai hormon yang berbeza-beza dan ia juga dapat mempengaruhi perubahan fizikal seseorang.
Begitu juga yang dialami oleh seorang warga emas di Pasir Mas, Kelantan yang dikatakan pelik kerana wajahnya mempunyai misai dan janggut seperti lelaki.
Che Halimah Che Mood, 62 yang menghidap penyakit angin ahmar sejak lapan tahun lalu mengakui dia dibelenggu masalah itu sejak usianya 20-an.
Menurut laporan Harian Metro, ketika ditemu bual, dia memaklumkan bahawa dia perlu mencukur janggut dan jambangnya itu dua atau tiga kali seminggu supaya kelihatan seperti wanita biasa.
Che Halimah sebelum ini pernah berjumpa dengan doktor untuk mengetahui punca sebenar masalah yang dialaminya dan doktor mengesahkan beliau mempunyai kadar hormon testosterone yang tinggi.
Menurut beliau, dia terpaksa mencukur selama berpuluh tahun supaya tidak dipandang aneh oleh orang sekeliling. Namun keadaannya semakin teruk selepas diserang penyakit angin ahmar yang melumpuhkan separuh bahagian di sebelah kiri.
Dia pernah mengalami kegagalan rumah tangga sebanyak dua kali sebelum ini dan tidak mempunyai anak.
Nasib menyebelahinya kerana didatangi insan yang baik dan sanggup menjaga makan minum dia bersama ibunya yang sudah tua.
“Saya tidak mempunyai anak untuk menumpang kasih. Nasib baik adik Mohammad Kamaruddin Abdullah, 42, dan isterinya Nur Asmira Che Hussin, 36 sanggup menjaga segala makan dan minum saya serta ibu yang sudah tua.
“Misai dan janggut saya ini, Nur Asmira yang selalu bantu mencukur dua atau sekali seminggu agar tidak tumbuh panjang seperti lelaki” – Che Halimah
Tambah beliau, ketika sihat dia pernah merantau mencari rezeki termasuk beberapa tahun bekerja di Singapura sebagai tukang masak restoran di sana.
Dia sebolehnya tidak mahu menyusahkan orang sekeliling, tetapi disebabkan penyakit yang dialaminya menyebabkan dia hanya mampu terbaring sahaja dan mengharap bantuan.
Sementara itu, wakil Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar bagaimanapun menyampaikan sedikit sumbangan kewangan dan barangan keperluan serta lampin pakai buang kepada Che Halimah.
Sumber Gambar: Harian Metro