Usia Bukan Penghalang, Wanita Berstatus Nenek Ikut Latihan Guna Senjata Api!
Seorang wanita berstatus nenek menjalani latihan menggunakan senjata dengan Pasukan Pertahanan Wilayah ketika Ukraine bersiap sedia untuk menghadapi ancaman pencerobohan Rusia.
Daily Star melaporkan Rumia, 59, menyertai ratusan sukarelawan dengan TDF Ukraine kerana kebimbangan mengenai kemungkinan pencerobohan itu.
Rumia adalah kerani pentadbiran dan berketurunan suku kaum Tartar yang berasal dari Semenanjung Crimea. Semenanjung Crimea ditakluk Rusia pada 2014.
Rumia kini menyertai kumpulan sukarelawan penduduk Ukraine yang terdiri daripada semua peringkat umur untuk mencuba menghalang pencerobohan Rusia di Kyiv. Wanita itu dirakam memegang model senapang serangan bersama sukarelawan lain ketika berlatih di pinggir Kyiv.
Ancaman pencerobohan berskala besar oleh Rusia meningkat pada akhir tahun lalu dan permulaan tahun ini.
Wilayah Donbas di Ukraine terbabit dengan peperangan sejak 2014 dengan pemisah yang disokong Rusia.
Dalam pada itu, Rusia terus menafikan sebarang niat untuk menceroboh Ukraine, tetapi Presidennya, Vladimir Putin sudah menghantar kira-kira 100,000 tentera bersama kenderaan, senjata dan bekalan di sempadan.
Moscow agresif dalam meningkatkan aktiviti ketenteraan di sempadan selepas Ukraine dilihat mahu menjalinkan hubungan dengan negara Barat lain.
Rusia menggesa negara Barat untuk berjanji untuk tidak menerima Ukraine sebagai ahli Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).
Putin juga sudah menuntut semua penempatan semasa tentera Barat dan Nato, supaya ditarik balik.
Rakyat di Ukraine semakin bimbang akan keselamatan mereka menyebabkan terdapat peningkatan bilangan yang mendaftar untuk menjalani latihan sebagai tentera.