Harga Gandum Naik Mendadak, Abang Roti Canai 50 Sen Nekad Kekal Harga Roti Canai – Manis Madu
Harga Gandum Naik Mendadak, Abang Roti Canai 50 Sen Nekad Kekal Harga Roti Canai

Harga Gandum Naik Mendadak, Abang Roti Canai 50 Sen Nekad Kekal Harga Roti Canai

Keadaan harga barang yang meningkat ketika ini menjadikan para peniaga rata-rata terpaksa menaikkan harga jualan mereka. Namun tidak bagi seorang peniaga roti canai di Melaka ini.

 

Menurut laporan Harian Metro, seorang peniaga roti dikenali sebagai Mustafa Abd Latif bertegas untuk mengekalkan harga pada jualannya.

 

“Selagi saya bernafas harga 50 sen ini akan terus dikekalkan walaupun ada pelanggan yang cakap itu harga gila,” ujarnya.

 

Tambah Mustafa lagi, meskipun berdepan situasi sukar dengan kenaikan harga barang namun dia tetap bertekad untuk terus mengekalkan harga jualan roti canai di warungnya.

 

Perniagaan yang sudah diusahakan sejak 11 tahun lalu itu menawarkan harga roti canai kosong sebanyak RM0.50 manakala roti telur dan roti planta dengan harga RM1 sekeping dan masih cuba dikekalkan hingga kini.

 

Ramai dalam kalangan pelanggan menasihati bapa kepada empat anak itu untuk menaikkan harga jualan kerana bimbang jika dia tidak mampu menanggung kos.

 

“Bagi saya susah bagaimana kena harung kerana itu sudah nekad malah saya sendiri pernah lalui tempoh yang sukar suatu masa dulu sehingga hendak makan pun payah.

 

“Sebagai peniaga, saya tersentuh apabila ada pelanggan yang tidak mampu untuk menjamu keluarga mereka jadi dengan harga sebegini mereka yang tidak berkemampuan boleh sama-sama nikmati,” tambahnya.

 

Mustafa yang juga turut dikenali dengan panggilan Abang Roti Canai 50 sen berkata, ini merupakan kali pertama dia berdepan cabaran yang begitu mencabar untuk mendapatkan bekalan tepung gandum di pasaran sepanjang berniaga.

 

“Selain itu kos tepung gandum juga amat tinggi sekiranya dulu hanya bermodalkan kira-kira RM1.40 kini mencecah hampir RM3 sekilogram kerana untuk roti canai hanya dua jenama sahaja digunakannya untuk rasa dan doh yang lembut,” katanya.

Post a Comment