Raih Gelaran PhD Di Usia 29 Tahun & Bergelar Pensyarah Di Korea, Kejayaan Dr Zulfati Izazi Patut Dikagumi!
Kejayaan anak kepada aktor veteran popular, Zulkifli Ismail iaitu Dr Zulfati Izazi Zulkifli baru-baru ini telah mendapat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di usia 29 tahun!
Menurut laporan Nona, Zulfati yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Seri Bintang Selatan kemudian melanjutkan pengajian STPM di Victoria Institution hingga tahun 2011 setelah itu menyambung pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Linguistik).
View this post on Instagram
“Sebaik sahaja tamat ijazah sarjana muda, saya menyambung pengajian ke peringkat sarjana pula di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Pengajian Bahasa dari tahun 2015 hingga 2017.
“Setelah beberapa bulan bekerja sebagai Pembantu Penyelidik di Universiti Malaya pada tahun 2017, saya mendaftar pula sebagai pelajar ijazah doktor falsafah dalam bidang linguistik di USM dan telah tamat pengajian pada awal tahun 2021,” ujarnya.
Menurut Zulfati lagi, dia kini sedang berkhidmat sebagai pensyarah di Hankuk University of Foreign Studies (HUFS) di Korea Selatan dan mengajar kursus-kursus berkaitan bahasa Melayu kepada pelajar-pelajar ijazah sarjana muda.
Dalam pada itu, ditanya mengenai dirinya yang memilih bidang linguistik, Zulfati memberitahu dia mempunyai minat yang mendalam tentang bahasa.
View this post on Instagram
“Saya ada banyak minat, jadi pada awalnya agak sukar untuk saya pilih bidang pengajian yang bakal diambil. Lalu saya sedar yang minat saya terhadap bahasa sebenarnya telah mula mendalam sejak saya kecil lagi.
“Saya sentiasa ada rasa ingin tahu tentang bahasa, kerana itu saya buat keputusan untuk mendalami ilmu tentang bahasa melalui bidang linguistik.
“Tentang masa yang diambil untuk tamat pengajian, jika dikira bermula daripada sarjana muda sehingga PhD, kesemuanya mengambil masa kira-kira 9 tahun. Satu perjalanan yang panjang tapi cukup bermakna,” ujarnya yang sudah pun berumah tangga.
Untuk pengetahuan, bapanya iaitu Zulkifli Ismail merupakan seorang pelakon yang sudah berkecimpung dalam bidang lakonan sejak tahun 80-an lagi serta dikenali dengan watak ASP Razlan dalam drama bersiri Gerak Khas.