Tak Perlu Pun Guna Haiwan! Great British Circus Buktikan Guna Bakat Manusia Dah Cukup Untuk Hiburkan Anda!
Circus atau sarkas, selalu dengar tapi jarang tahu tentang kewujudan mereka dalam menghiburkan orang ramai! Bukan satu kesalahan rakyat Malaysia tak tahu mengenai budaya sarkas ini kerana ianya bukan dari budaya kita tetapi merupakan satu seni atau budaya yang boleh dihargai siapapun terutamanya penggemar seni!
Baru-baru ini Syaz dapat peluang melihat pertunjukan sarkas daripada Great British Circus dan menemu bual pemiliknya Kiril Yordanov Kirilov untuk mengetahui lebih lagi perspektif dan penerimaan budaya sarkas di Malaysia.
Great British Circus
Great British Circus bermula pada tahun 2005 tetapi di Malaysia bermula pada tahun 2015 bermaksud sudah 7 tahun sehingga kini.
En Kiril Yordanov Kirilov dan isterinya, Biliana Eram Kirilova yang merupakan pemilik bersama Great British Circus berkata mereka mempunyai pekerja atau staf sehingga 30 orang bagi memastikan kelancaran pertunjukan sarkas mereka.
Keistimewaan Great British Circus
Sempat bertanya mengenai keistimewaan Great British Circus berbanding sarkas yang lain, En. Kiril menjawab dengan yakin mereka tidak berfokus kepada 1 rutin kemuncak dalam pertunjukan sarkas mereka tetapi memberikan sepenuh perhatian dan usaha dalam setiap rutin pertunjukan sarkas yang mereka ada.
Selain itu, setiap rutin yang berbeza untuk setiap orang yang datang ke pertunjukan Great British Circus. Maksudnya setiap orang yang datang akan ada rutin yang boleh menghiburkan hati penonton.
Rutin badut dibuat khas untuk menarik perhatian kanak-kanak kerana mereka jarang melihat badu dan senang terhibur, rutin BMX yang lebih bahaya dan menyeronokkan lebih sesuai untuk menghiburkan penonton yang dewasa tetapi juga boleh ditonton oleh kanak-kanak.
En Kiril berkata dia mahu setiap penonton yang datang ke pertunjukan Great British Circus jatuh cinta dengan setiap rutin yang ada dalam pertunjukan mereka dan bukan rutin tertentu.
Yang menjadi satu perkara yang menarik perhatian Syaz apabila En Kiril berkata dia mahukan setiap penonton yang sudah habis menonton pertunjukan sarkas tersebut dengan mata yang bersinar-sinar kerana puas hati dengan pertunjukan mereka.
Perkara tersebut menunjukkan semangat En. Kiril dalam menghiburkan penonton yang datang dan bukan semata-mata atas dasar perniagaan.
Pandemik
Ditanya mengenai isu pandemik, sempat En Kiril mengeluh panjang dan termenung sebelum menjawab pertanyaan Syaz mengenai betapa terkesannya Great British Circus semasa pandemik Covid-19 berlaku.
“Ia merupakan satu tempoh yang sukar, bukan saja untuk kami tetapi waktu pandemik merupakan waktu yang sukar untuk semua orang tetapi saya boleh cakap yang ianya merupakan waktu yang teramat sukar untuk kami berbanding orang lain” kata En. Kiril.
Pada mulanya Syaz agak terkilan kepada En. Kiril berkata mereka lebih terkesan berbanding orang lain tetapi mendengar penjelasan seterusnya dari En. Kiril membuatkan Syaz lebih faham mengenai situasi mereka.
Berada dalam situasi yang mana ramai terkurung, orang lain mungkin terkurung bersama-sama keluarga, tetapi kami dengan hampir 27 orang individu terkurung dan berada jauh daripada ahli keluarga dan rumah.
Tak boleh bersama dengan ahli keluarga, jadi secara emosi ia merupakan tempoh yang sukar.
En. Kiril juga berkongsi kesan pandemik kepada syarikat Great British Circus, katanya mereka sangat terkesan, seakan-akan rasa seperti dihancurkan. Kami cuba hantar pekerja kami pulang ke rumah mereka di negara asal mereka tetapi semua penerbangan dibatalkan pada waktu itu.
Dari awal Mac sehingga awal Oktober, kami membayar tempat tinggal dan membelanja wang untuk sara hidup pekerja, jadi perkara ini sangat memberi kesan kepada sumber kewangan syarikat tetapi tidak rasa mengalah kami tahu waktu pandemik akan berakhir, jadi kami bersabar dengan sepenuh hati.
Penggunaan Haiwan Dalam Pertunjukan
Setiap temu bual itu tidak menarik tanpa sebarang soalan kontroversi yang boleh menjadi satu angle berita yang menarik untuk ditulis dan soalan ini menjadi salah satu soalan panas yang Syaz berjaya tanya kepada En. Kiril.
Bercakap mengenai isu haiwan, ianya sentiasa berkait dengan sarkas jadi Syaz sempat bertanya soalan ini kepada En. Kiril mengenai pandangannya terhadap penggunaan haiwan dalam pertunjukan sarkas.
En. Kiril sangat berminat dan bersemangat untuk jawab soalan, Syaz dapat lihat dia cuba jelaskan dengan baik tentang perkara ini, menurutnya sejarah penggunaan haiwan sebahagian daripada pertunjukan sarkas ini sudah lama berlaku lamanya.
En. Kiril menjelaskan Great British Circus dalam sejarah penubuhan sarkas ini, tidak pernah sama sekali menggunakan haiwan sebahagian daripada rutin mereka dan tidak akan berlaku juga kerana dirinya dan isteri En. Kiril yang juga terlibat dalam Great British Circus iaitu Biliana Eram Kirilova tidak menyokong pengunaan haiwan sama sekali.
Tetapi En. Kiril menekankan dahulunya banyak sarkas yang menggunakan haiwan sebahagian daripada rutin sarkas tetapi tidak semuanya kejam kepada haiwan-haiwan tersebut kerana ada sarkas yang menjaga haiwan dengan baik, tetapi tidak kurang yang kejam terhadap haiwan-haiwan di sarkas.
Secara peribadi En. Kiril memberitahu dia merasakan tiada haiwan yang akan rasa selesa diletakkan untuk tontonan orang ramai di atas pentas terutamanya sebahagian daripada pertunjukan sarkas jadi untuk Great British Circus, tidak sama sekali kami akan menggunakan haiwan dalam rutin pertunjukan kami, TIDAK SAMA SEKALI! Kata En. Kiril.
Pengalaman Melihat Pertunjukan Sarkas
Sudah selesai menemu bual En. Kiril, Syaz dan rakan sekerja diberi peluang untuk melihat pertunjukan sarkas daripada Great British Circus sendiri.
Menjadi satu titik pengalaman baru buat Syaz kerana merupakan pertama kali melihat pertunjukan sarkas dan Syaz boleh cakap ianya merupakan satu perkara yang mempesonakan! Setiap rutin persembahan dilaksanakan dengan baik yang bertujuan menghiburkan penonton dengan sebaik mungkin.
Setiap rutin membuat Syaz terpesona tetapi rutin BMX antara rutin yang membuat Syaz menyebut perkataan ‘WOW’ beberapa kali.
Seperti yang En. Kiril kata, dia mahukan penonton terpesona setiap kali melihat rutin persembahan Great British Circus dan itu yang Syaz rasa, terpesona. Puas hati dengan pertunjukan sarkas pertama Syaz.
Maduners yang ingin melihat pertunjukan sarkas daripada Great British Circus jangan risau sebab mereka sentiasa on tour dan akan berada di Batu Pahat Mall bermula 6 Ogos hingga 21 Ogos 2022. Untuk tahu lokasi seterusnya, Maduners boleh ikuti mereka di laman Facebook mereka!