Terpaksa Usung Ibu Lumpuh Seluruh Badan Ke Bank, Pegawai Bank Dikecam Tiada Timbang Rasa! – Manis Madu
Terpaksa Usung Ibu Lumpuh Seluruh Badan Ke Bank, Pegawai Bank Dikecam Tiada Timbang Rasa!

Terpaksa Usung Ibu Lumpuh Seluruh Badan Ke Bank, Pegawai Bank Dikecam Tiada Timbang Rasa!

Satu perkongsian di laman sosial TikTok baru-baru ini telah mencuri perhatian netizen apabila seorang gadis memuat naik video yang memaparkan seorang warga emas telah diusung menggunakan stretcher ambulans hanya kerana perlu memperbaharui kad bank miliknya yang telah tamat tempoh.

Difahamkan, pihak bank tetap meminta warga emas wanita berkenaan hadir ke bank meskipun telah diberitahu keadaan wanita itu lumpuh seluruh badan.

 

Menerusi video tersebut, dapat dilihat warga emas itu dibawa ke bank menggunakan ambulans setelah dimaklumkan oleh pihak institusi perbankan itu bahawa tiada cara lain yang boleh dilakukan untuk memudahkan urusan wanita berkenaan.

 

“Memang kita tak ada cara lain, cik kena bawak mak mai bank dan tolak makcik masuk ke dalam bank juga,” 

 

Gadis yang memuat naik video terbabit juga turut menceritakan, dia terpaksa menggunakan khidmat St John untuk membawa ibunya ke bank memandangkan keadaan ibunya yang tidak boleh duduk di dalam kereta.

 

Perkongsian tersebut jelas mengundang pelbagai reaksi daripada warganet. Rata-ratanya bersimpati dengan apa yang dilalui wanita berkenaan serta berang dengan tindakan bank tersebut.

 

“Kenapa pihak bank tak ambil berat pasal benda ni. Kenapa makin menyusahkan, kenapa tak permudahkan?

 

“Orang yang jaga orang sakit bedridden je faham. Kos ambulance pun dah beratus, masa lagi,”

 

Dalam pada itu, ada juga netizen yang berkongsi pernah mengalami situasi yang sama seperti individu dalam video tersebut dan mengakui perkara itu sangat mengecewakan terutamanya jika berlaku kepada warga emas yang sakit dan lain-lain.

 

Namun, ada juga netizen yang memahami kenapa pihak bank melakukan prosedur yang rumit sedemikian rupa.

 

“Dari satu sudut, kita nampak betapa rumitnya bank ini tetapi dari sudut pandang lain, kita semua boleh bersetuju yang bank ini memiliki sistem keselamatan yang sangat ketat. Semua ini hanya untuk melindungi data dan maklumat peribadi pelanggan mereka,”

 

Berikutan tularnya video itu, ramai meminta agar pihak bertanggungjawab seperti Bank Negara Malaysia (BNM) untuk lebih bertimbang rasa dan mempunyai perasaan empati agar perkara seperti ini tidak berulang lagi.

Post a Comment