Minat Sukan Permotoran Dorong Rider Helmet Pink Tubuh Pasukan Lumba Motosikal
Bermula sebagai ‘morovlogger’ pada 2019 serta berbekalkan minat mendalam dalam sukan permotoran, Nur Atikah Azwar menyahut cabaran menubuhkan pasukan perlumbaan sendiri untuk bersaing dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2021, Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) dan Lumba Drag.
Menurut laporan Bernama, rentetan itu, gadis berusia 25 tahun ini muncul sebagai wanita termuda pertama di Malaysia memiliki pasukan perlumbaan dikenali sebaga Tuneboss-pink Racing Team. Hebat!
Sebelumnya, Atikah pernah ditawar untuk mempromosikan aktiviti sampingan kejohonan itu kemudian menyahut cabaran sebagai pelumba sokongan pada perlumbaan sokongan kategori Pro-Am 2020 sehingga dikenali sebagai ‘Rider Helmet Pink’.
Cintanya terhadap sukan yang didominasi lelaki itu terus bercambah sehingga dia memutuskan untuk menubuhkan pasukan sendiri pada hujung tahun lepas. Penubuhan berkenaan juga dikatakan bertujuan untuk memberi peluang kepada lebih ramai wanita menceburkan diri dalam bidang ini sebagai pelumba dan kru pasukan.
“Saya tubuhkan pasukan ini untuk tarik ramai wanita ke dalam industri sukan permotoran Malaysia kerana di luar sana ramai wanita yang bercita-cita ingin jadi pelumba. Ada juga yang ingin menjadi mekanik tetapi mereka tiada platform untuk memulakan perjalanan itu.
“Jadi saya berharap mungkin suatu hari nanti kami boleh mengembangkan pasukan dengan ramai lagi wanita. Bagaimanapun, kami tidak mahu dibarisi wanita sepenuhnya, ada juga sokongan kuat daripada lelaki dalam pasukan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran pasukannya.
Sumber Featured Image: RIDERHELMETPINK