Adik Pekak & Bisu Jadi Hero Selamatkan Abang Dari Kebakaran – Manis Madu
Adik Pekak & Bisu Jadi Hero Selamatkan Abang Dari Kebakaran

Adik Pekak & Bisu Jadi Hero Selamatkan Abang Dari Kebakaran

Seorang kanak-kanak cacat pendengaran dan bisu menjadi penyelamat kepada seluruh keluarganya dalam kebakaran rumah di Pasir Gudang Isnin lalu.

 

Menceritakan detik cemas tersebut, ibu kepada  Siti Aisyah Syafyah Dzulkifkie, 11 iaitu Shukuriah Che Mat, 50 memberitahu bahawa ketika kejadian ketiga-tiga anaknya berada di rumah keluarga di Taman Scientex.

 

Manakala dia dan suaminya bermalam di rumah lama di Taman Mawar.

 

Menurut Harian Metro, ketika kejadian Siti Aisyah yang ketika itu tidur di ruang tamu dikejutkan dengan api yang marak dan terus bergegas lari ke bilik tidur abangnya di tingkat dua demi menyelamatkan mereka.

 

“Hanya Tuhan saja mengetahui detik cemas dihadapi Siti Aisyah kerana dia yang tidak mampu menjerit, sebaliknya hanya dapat mengetuk pintu bilik.

 

“Apabila abangnya membuka pintu, dia yang berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat meminta kedua-dua abangnya bersamanya untuk turun ke bawah dan menyelamatkan diri menggunakan pintu belakang sebelum api marak.

 

“Anak lelaki saya masing-masing berusia 14 dan 18 tahun hanya sempat membawa telefon bimbit sebelum menghubungi saya dan bomba.

 

“Saya bersyukur kerana kesemua mereka selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu,” katanya.

 

Dalam kejadian tersebut, Shukuriah telah mengalami kerugian hampir RM160,000 kerana hampir 90% rumahnya dijilat api.

 

Menurutnya lagi, punca kepada kebakaran yang berlaku adalah litar pintas.

 

Jelasnya, keluarganya amat terkesan akibat kejadian itu kerana buat masa ini  mereka bergantung sepenuhnya kepada pendapatannya kerana suaminya, Dzulkifkie M Sakan, 48, sudah berhenti kerja sejak Oktober 2020.

 

Rumah lama kami dihuni oleh beberapa anak tiri saya bersaiz agak kecil dan tidak sesuai sekiranya kami sekeluarga tinggal di situ.

 

“Semua barangan persekolahan anak selain komputer digunakan untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) juga sudah musnah dan saya berharap ada pihak yang membantu terutama membiayai sebahagian kos membaik pulih rumah.

 

“Buat masa ini hanya saya sahaja bekerja dan mustahil bagi menggunakan pendapatan untuk membiayai kos membaik pulih rumah sehingga suami berjaya mencari pekerjaan baharu,” ulasnya lagi.

 

Pengurus Pasaraya Econsave Cash And Carry di cawangan Taman Scientex, Mas Imran Adam yang prihatin dengan kejadian itu telah menyerahkan sumbangan baucer beli-belah sebanyak RM1,000.

 

Beliau berharap sumbangan kecilnya itu dapat meringankan beban keluarga terbabit. 

 

Sumber Featured Image: Harian Metro

Post a Comment