Bantu Penduduk Kampung, Pengusaha Nasi Kukus Agih Makanan Percuma
Di musim PKP ini ramai yang kehilangan pekerjaan malah ada yang berlapar disebabkan tidak dapat keluar untuk mencari rezeki.
Melihat kepada situasi tersebut, seorang pemilik kedai makan Umira Nasi Kukus yang bertapak di Hulu Terengganu ini mengambil inisiatif untuk membantu dan meringankan beban mereka yang memerlukan dengan menawarkan nasi kukus percuma kepada orang ramai.
Menurut laporan Astro Awani, Zuriani Yaacob telah memulakan inisiatif pemberian nasi kukus percuma ini sejak tiga minggu lalu.
Pengusaha yang berusia 53 tahun itu memaklumkan bahawa dia tergerak hati untuk memberi bantuan selepas melihat kesusahan yang dihadapi masyarakat apbila ada di antara mereka dibuang kerja sehinggakan ada yang terputus bekalan makanan.
Sebanyak 300 bungkus nasi percuma diagihkan seminggu sekali di tiga cawangan kedai miliknya di Kuala Berang, Bukit Payong dan Wakaf Tapau.
“Kita tengok sendiri ketika pandemic ini keadaan semakin teruk dengan ada yang kehilangan pekerjaan”
Zuriani berkata, selepas berbincang dengan anaknya, mereka sekeluarga membuat keputusan untuk mengagihkan makanan percuma ini.
Zuriani menjelaskan bahawa bekalan makanan sebelum ini hanya ditempatkan di masjid-masjid untuk diambil oleh orang ramai, tetapi kini mereka sepakat untuk melaksanakan di kedai makan miliknya.
Usaha itu sedikit sebanyak dapat melegakan hati penduduk yang terjejas termasuk pelajar dan golongan warga emas.
Penduduk setempat bersyukur kerana masih ramai pihak dan peniaga yang prihatin dan sudi membantu golongan yang memerlukan dengan pelbagai cara.
Sumber Gambar: Astro Awani