Bekas Ratu Cantik Myanmar Sertai Pemberontak Etnik Menentang Tentera
Seorang bekas ratu cantik Myanmar kini menyertai kumpulan pemberontak etnik dan mengangkat senjata untuk menentang junta tentera negara itu.
View this post on Instagram
Baru-baru ini, Htar Htet Htet, yang pernah mewakili Myanmar dalam pertandingan ratu cantik Miss Grand International di Thailand pada 2013, menyiarkan gambar dirinya memakai seragam gempur dan memegang senapang.
Lapan tahun kemudian, beliau pergi jauh ke dalam hutan berdekatan sempadan Myanmar, di kawasan yang dikuasai kumpulan bersenjata etnik.
“Masa sudah tiba untuk melawan, sama ada anda mengangkat senjata, pena, papan kekunci atau menyumbang wang kepada gerakan prodemokrasi.
“Setiap orang mesti berusaha gigih supaya revolusi ini berjaya.” tulisnya dalam paparan di Facebook.
Menurut Berita Harian, Myanmar kini bergolak dengan ekonominya kian lumpuh sejak tentera merampas kuasa pada 1 Februari lalu, menggulingkan pemerintah awam pimpinan Aung San Suu Kyi.
Junta tentera menggunakan kekerasan melampau untuk meredakan tunjuk perasaan orang ramai, namun tidak dapat mematikan semangat rakyat negara itu untuk terus turun ke jalanan dan menuntut demokrasi dikembalikan.
View this post on Instagram
“Saya akan melawan seboleh yang mampu. Saya bersedia mengorbankan segalanya, malah saya bersedia mengorbankan nyawa saya,” tulis Htet Htet dari kawasan sempadan yang tidak diketahui.
Peserta Miss Grand Myanmar tahun ini, Han Lay, juga menjadi pengkritik junta tentera.