Berhenti Sekolah Di Usia 15 Tahun Kerana Dibuli, Kini Gadis Ini Dapat Penghargaan Kerabat Diraja Kedah
Nurul Afifah atau lebih dikenali sebagai Pipo merupakan seorang pelukis kelainan upaya yang mengalami masalah pendengaran sejak kecil. Karya lukisan Pipo sememangnya mempunyai kelas tersendiri namun tersimpan 1001 kisah duka yang dihadapinya.
Ketika berumur 15 tahun, Pipo dikatakan terpaksa berhenti sekolah kerana menjadi mangsa buli.
Menurut mStar, mengimbas perjalanan seni gadis berumur 18 tahun ini sehingga hasil seninya berjaya menarik perhatian kerabat Diraja Kedah, bapanya, Mohd Rizal Ismail, 49, berkata, Pipo mula mengalami masalah pendengaran sejak berusia 5 tahun. Sejak sekolah rendah lagi dia menjadi mangsa buli dan semakin teruk ketika berada di sekolah menengah.
“Saya juga ada buat laporan kepada guru dan pihak pendidikan negeri. Ketika tingkatan dua Pipo kata dia dah tak nak sekolah.”
View this post on Instagram
Sejak itu juga, bapanya mula membeli kelengkapan melukis untuknya dan dia mula melukis di rumah sekaligus menjadi titik mula karya-karyanya dikenali seterusnya mendapat penghargaan daripada kerabat Diraja Kedah.
Mengulas lanjut mengenai penghargaan yang diterima, Mohd Rizal menyifatkan perkara berkenaan merupakan penghargaan tertinggi buat keluarganya. Ia bermula apabila Mohd Rizal sendiri mempamerkan hasil fotografi sendiri serta lukisan Pipo menerusi satu pameran di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok pada awal tahun lalu.
Dalam pameran itu, karya Pipo telah mencuri tumpuan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin yang meluahkan hasrat untuk memilikinya.
“Tunku Laksamana Kedah hadir ketika itu dan mengakui berminat dengan lukisan Pipo. Saya rasa sangat bangga dengan bakat anak saya walaupun dia OKU.”
Haa, kalau ada Maduners yang berminat menyaksikan karya Pipo, boleh layari laman Facebook dan Instagram gadis tersebut kerana dia kerap berkongsi hasil karyanya di sana.