Bukan Saja Kena Pandai Bawa Kereta, Wanita Di Luar Sana Perlu Tahu Periksa Kereta!
Selalunya hal-hal periksa kenderaan kereta ini memang kita serahkan sepenuhnya pada kaum lelaki.
Tapi, mula pada hari ini, wanita di luar sana pun tahu serba sedikit cara untuk kita pastikan kereta kita dalam keadaan baik.
Apa yang Madu senaraikan ini adalah yang paling asas dan boleh anda praktikkan sendiri di rumah.
#1 Periksa Tayar
Anda tahu tak? Jangka hayat tayar kereta boleh tahan lagi lama kalau kita isikan tekanan yang betul pada tayar kereta kita.
Kalau anda nak tahu tekanan yang betul untuk tayar anda, biasanya pengeluar kereta dah letak siap-siap jumlah tekanan tayar yang betul pada bahagian pintu kereta sebelah dalam atau penutup minyak petrol.
Biasanya selang waktu yang baik untuk buat pemeriksaan tayar adalah sebulan sekali atau bila-bila masa anda rasa tayar kekurangan angin!
#2 Uji Bateri Kereta
Sumber Gambar: mynewshub.tv
Cara paling mudah untuk lihat kesihatan bateri kereta Maduners adalah dengan cara melihat kepada kunci kereta kawalan jauh anda.
Jika kadang kala pintu kereta susah nak buka dengan kunci kawalan jauh, mungkin ada masalah dengan bateri.
Satu lagi, anda juga boleh buat ujian bateri, waktu yang baik untuk buat ujian bateri adalah dua kali setahun.
Di mana nak buat ujian bateri ini? Anda boleh pergi ke bengkel terdekat dan bagi tahu mekanik nak buat ujian bateri pasti mereka akan bantu!
#3 Minyak Hitam
Minyak hitam atau minyak enjin ini adalah nadi kereta, dan minyak hitam ini wajib ditukar mengikut jumlah waktu penggunaan ataupun kilometer yang sudah ditetapkan oleh mekanik yang tukar minyak hitam anda itu.
Kebiasaannya, minyak jenis semi-sintetik boleh digunakan selama 3 bulan atau bersamaan dengan 5,000 kilometer dan minyak sintetik pula boleh bertahan sehingga 6 bulan bersamaan 10,000 kilometer.
Harga minyak pula bergantung pada jenis minyak sama ada sintetik atau pun semi-sintetik dan pastinya harga sintetik lebih mahal sikit.
Amaran! Elakkan dari menangguh penukaran minyak hitam sebab kalau biar lama-lama nanti enapan minyak itu akan menyebabkan enjin kita tersumbat!
Baik, itu adalah 3 bahagian utama yang para wanita di luar sana boleh buat ujian setiap kali nak keluar jauh dengan kereta.
Semoga perjalanan Maduners selamat!