China Akhirnya Longgarkan Polisi Perancangan Keluarga ‘Satu Keluarga, Satu Anak’ – Manis Madu
China Akhirnya Longgarkan Polisi Perancangan Keluarga

China Akhirnya Longgarkan Polisi Perancangan Keluarga ‘Satu Keluarga, Satu Anak’

China akan membenarkan pasangan suami isteri untuk memiliki tiga orang anak selepas banci menunjukkan populasinya menua dengan cepat sekali gus melonggarkan polisi perancangan keluarga ketat yang diamalkan sejak empat dekad lalu.

 

Pada 2016, China melonggarkan dasar ‘satu keluarga, satu anak’ yang merupakan peraturan perancangan keluarga paling ketat di dunia berikutan kebimbangan berhubung tenaga kerja yang semakin menua dan kelembapan ekonomi.

 

Di sebalik usaha pemerintah menggalakkan pasangan supaya memiliki zuriat, angka kelahiran tahunan di China menjunam ke paras terendah berjumlah 12 juta kelahiran pada 2020, kata Biro Statistik Negara bulan lalu.

 

Antara punca penurunan mendadak itu termasuk peningkatan kos sara hidup dan semakin ramai wanita keberatan untuk mempunyai anak.

 

Menurut Kosmo! perkembangan itu berisiko mencetuskan krisis demografi yang membimbangkan Parti Komunis diterajui oleh Presiden Xi Jinping. Pakar-pakar berkata, negara itu akan mengalami kekurangan pekerja muda untuk memacu ekonomi negara, manakala China juga terpaksa menjaga beratus-ratus juta warga emas menjelang tahun 2050.

 

Keputusan melonggarkan dasar kelahiran negara itu dibuat semasa mesyuarat jawatankuasa kepimpinan Parti Komunis, Politburo yang dipengerusikan oleh Jinping hari ini.

 

“Sebagai tindak balas aktif kepada populasi yang semakin menua, pasangan boleh memiliki tiga anak,” lapor agensi berita rasmi Xinhua.

 

Keputusan banci sekali dalam satu dekad pada 2020  yang  disiarkan bulan lalu itu juga menunjukkan  populasi China berkembang pada kadar paling perlahan sejak tahun 1960-an iaitu berjumlah 1.41 bilion.

Post a Comment