Cincin Tersekat Di Jari Manis, Terpaksa Minta Bantuan Anggota Bomba
Pemakaian aksesori seperti cincin, rantai, gelang dan anting merupakan perhiasan yang menyerlahkan lagi penampilan seseorang. Tidak kira sama ada pemakainya adalah perempuan mahupun lelaki.
Namun, Maduners pernah tak mengalami situasi yang mana aksesori berkenaan tidak lagi indah dipakai kerana berlaku insiden yang mencederakan anda?
Perkara berkenaan berlaku kepada seorang lelaki yang terpaksa meminta bantuan anggota bomba selepas cincin yang dipakainya di jari manis kanan tersangkut dan gagal ditanggalkan.
Menurut BH Online, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.21 malam tadi.
Beliau berkata, sejurus menerima panggilan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Bahang melakukan operasi memotong cincin dipakai lelaki berusia 28 tahun itu di Klinik Kesihatan Teluk Bahang.
“Anggota bomba memotong cincin itu menggunakan peralatan khas dan mengambil tempoh selama 40 minit bagi menanggalkannya sebelum operasi tamat jam 11.57 malam,” katanya.
Seram betul tengok jari yang berdarah-darah sebab cincin tersangkut!
Sumber Gambar: Balai Bomba Teluk Bahang