Hampir Jadi ‘Lauk’ Buaya, Mujur Ada Pengunjung Berani!
Tindakan pantas seorang pengunjung berjaya menyelamatkan seorang staf pusat reptilia Utah, Amerika Syarikat daripada kehilangan tangan ekoran digigit seekor buaya baru-baru ini.
Menurut portal berita Wavy, dalam kejadian berkenaan, seorang pekerja wanita di Scales & Tails Utah, bandar Salt Lake City, Amerika Syarikat (AS) itu sedang memberi makan kepada haiwan itu di dalam kandang pusat reptilia itu.
Namun tanpa disedari, buaya yang berada di kandang itu secara tiba-tiba bertindak ganas serta terus membaham tangan pekerja itu sebelum berlaku pergelutan antara mereka di dalam kandang tersebut.
Menyedari kejadian itu, seorang pengunjung yang dikenali sebagai Donnie Wiseman melakukan tindakan pantas dengan terus terjun ke dalam kolam berkenaan dan cuba menyelamatkan pekerja tersebut dengan cara duduk di atas buaya itu.
Donnie dan seorang lelaki lain, Todd Christopher berusaha membantu melepaskan tangan wanita itu dengan membuka rahang reptilia berkenaan. Setelah beberapa minit bergelut, akhirnya wanita malang itu dapat diselamatkan.
Wanita itu kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Pemilik Scales & Tails Utah, Shane Richins berkata aktiviti memberi makan kepada haiwan di pusat berkenaan sepatutnya dilakukan oleh dua kakitangan pada satu-satu masa tetapi cara itu sudah lama tidak digunapakai.
Dia berterima kasih dengan tindakan pengunjung yang membantu menyelamatkan pekerja berkenaan dan memberitahu jika tiada siapa yang membantu ketika itu kemungkinan besar wanita tersebut akan kehilangan tangannya.