Hanya Kerana RM0.01, Hutang PTPTN Meningkat RM 515 Tanpa Sedar!
Sudah menjadi tanggungjawab, seorang peminjam mestilah membayar wang yang dipinjam. Tidak kira dari siapa pun. Begitu juga dengan pinjaman pendidikan melalui Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dilakukan ketika di universiti.
View this post on Instagram
Bagi Maduners yang masih menanggung hutang PTPTN hingga ke hari ini walaupun sudah tamat pengajian, boleh ambil pengajaran daripada perkongsian seorang pengguna Facebook ini.
Wanita yang dikenali sebagai Cikgu Fateema ini awalnya sudah menyelesaikan hutang pinjamannya pada tahun 2015. Namun, baru-baru ini dia terkejut setelah menerima makluman yang dirinya masih berhutang dengan PTPTN.
KERANA 1 SEN, HUTANG PTPTN JADI RM515 LEPAS 6 TAHUN
PTPTN: Pengesahan baki yang dikeluarkan terkurang RM0.01 menyebabkan penyata peminjam masih berhutang dan kos masih berjalan hingga kini.
Cikgu Fateema: Allahu! Kerana 1 sen? Sampai jadi RM515??
Baca sambungan 👇🏻 pic.twitter.com/EgLM2Ug7G3
— Amira Radin Salamat (@eimeerose) January 16, 2022
Apabila diselidiki, ternyata hutang Fateema masih berbaki RM0.01 dan jumlah itu telah meningkat menjadi RM515 selepas enam tahun berlalu!
Difahamkan, kekeliruan ini berlaku apabila ada kos lain yang mungkin dimasukkan apabila bayaran tidak dilangsaikan sepenuhnya.
Antara kos yang dimaksudkan adalah seperti servis dan insurans. Itu belum termasuk dengan kadar faedah kos tersebut lagi. Makin bertambah bulan, makin bertambah jumlah hutang tanpa sedar!
Menurut Fateema, pada 6 tahun lalu, dia masih ingat lagi apabila diminta oleh PTPTN untuk menunggu selama sebulan sebelum surat dari mereka tiba namun, surat itu tidak sampai hingga menyebabkan dia terus terlupa mengenainya.
Fateema juga turut membayar baki pinjaman menggunakan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan urusan jumlah bayaran akhir itu akan diuruskan PTPTN bersama KWSP.
Walau bagaimanapun, Fateema memaklumkan kesnya sudah selesai dan dia sudah menerima surat mengesahkan hutangnya sudah dilangsaikan sepenuhnya.
Disarankan buat para peminjam, simpan semua dokumen penting untuk dijadikan bukti di kemudian hari. Hubungi juga pegawai PTPTN yang berkaitan untuk bertanya lebih lanjut tentang sebarang masalah berkaitan.